Rebut buku RM10 di Negara Mega Buku Karangkraf!

Dahlia menunjukkan antara buku kanak-kanak yang dijual di Negara Buku Mega.
Dahlia menunjukkan antara buku kanak-kanak yang dijual di Negara Buku Mega.
A
A
A
SHAH ALAM - Negara Buku Mega yang membuka tirainya jam 9 pagi tadi di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, menawarkan semua bahan bacaan pada harga rata RM10 sahaja.

Bagi buku-buku tertentu seperti akademik, kanak-kanak serta resipi dan kraf pula, penganjur membuat tawaran tertentu dengan promosi '2 buku RM10', '3 buku RM10' dan '4 buku RM10'.

Ketua Krew Negara Buku Mega, Dahlia Ahmad Zainuddin berkata, pengunjung boleh merebut peluang ini untuk mendapatkan 100,000 judul buku daripada 50 penerbit tempatan yang ditawarkan di sini.

Bagi memudahkan pengunjung membeli-belah, katanya, pihaknya menyediakan dua tempat iaitu di Studio F dan Auditorium Karangkraf yang menjual 12 genre bahan bacaan.

"Di Auditorium Karangkraf menempatkan buku-buku kanak-kanak, resipi, kraf, umum dan akademik. Bagi mereka yang mahu membeli al-Quran, ia diletakkan di sudut F, iaitu laluan antara auditorium dan Studio F.

Sebahagian pengunjung tidak melepaskan peluang memilih buku pilihan masing-masing di Negara Buku Mega.
Sebahagian pengunjung tidak melepaskan peluang memilih buku pilihan masing-masing di Negara Buku Mega.



"Manakala bahan bacaan bagi genre umum, Indie, puisi, novel, Islamik, travelog, bisnes dan politik pula ditempatkan di Studio F. Kita juga ada kemudahan parkir yang banyak dan percuma, surau serta bangunan berhawa dingin. Pengunjung boleh bertanya petugas di sini jika ada sebarang kemusykilan," katanya.

Dahlia berkata, sebanyak 11 kaunter disediakan dengan kemudahan bayaran sama ada secara tunai atau menggunakan kad debit atau kredit.

"Demi menyahut seruan bumi hijau 'katakan tidak pada beg plastik', kami amat mengalu-alukan pengunjung untuk membawa beg hijau sendiri.

Artikel Berkaitan:


"Kami akan kenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik," katanya.

Negara Buku Mega berlangsung selama 60 jam tanpa henti bermula jam 9 pagi hari ini dan berakhir 9 malam pada hari Ahad.

Antara penerbit terlibat termasuklah Karangkraf, Sasbadi, Dubook Press, Thukul Cetak, Fixi dan PTS.