‘Buat lagu perpaduan, bukan perpecahan’

Zed Zaidi
Zed Zaidi
A
A
A

LAGU bertajuk Bukit Mak yang diciptakan oleh penyanyi dan pengarah muzik, Namewee bukan sahaja boleh mengundang perpecahan kaum malah boleh mempengaruhi pemikiran anak-anak muda untuk menggunakan perkataan kurang sopan dalam pertuturan harian.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Jamil atau dikenali sebagai Zed Zaidi berkata, walaupun artis di negara ini bebas berkarya, namun penggunaan seni kata yang mempunyai makna kurang elok akan mencalarkan imej masyarakat Malaysia.

Menurutnya, penggunaan kata-kata kesat tidak mencerminkan adat budaya masyarakat timur.

“Bagi saya perkara ini bukan cerminan rakyat Malaysia. Sempena Hari Malaysia yang kita sambut pada hari ini (Isnin), dia sepatutnya buat tajuk lagu yang melambangkan perpaduan bukannya memecahkan perpaduan.

“Rakyat Malaysia penuh dengan adab dan sopan santun, bertutur dengan bahasa yang baik tetapi kenapa dia pilih tajuk itu?” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini, Namewee dan pelawak terkenal, Harith Iskandar dilihat sedang melakukan persembahan nyanyian lagu bertajuk Bukit Mak secara langsung di hadapan sebuah pusat beli-belah dekat Bukit Bintang, Kuala lumpur.

Menerusi video itu, rata-rata penonton di kawasan tersebut seolah-olah terkejut mendengar lirik lagu yang didakwa membawa maksud tidak senonoh sehingga menimbulkan ketidakselesaan.

Mengulas lanjut, Zed Zaidi berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan ke atas mana-mana selebriti yang berkarya tanpa etika dan dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, artis perlu menjadi contoh kepada masyarakat dan menghasilkan karya berkualiti selain membawa mesej positif.

“Kalau karya yang dihasilkan itu baik, ada mesej maka kita akan sokong tetapi kalau ia bersifat menghina atau membawa maksud tidak baik maka kita harap pihak seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk sekat video lagu ini daripada terus ditonton oleh orang ramai,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!