'Lama tak jumpa anak Mama, rindu sangat' - Abby Abadi
SHAH ALAM - "Lama tak jumpa anak Mama seorang ni, rindu sangat," demikian luah pelakon, Abby Abadi apabila anak kedua, Marissa Dania Hakim hadir meraikan sambutan ulang tahun adiknya, Maria Danisha Hakim pada Sabtu.
Menerusi hantaran video dimuat naik di Instagram, Abby berkata, dia mengakui terkejut dengan kehadiran anak perempuannya itu kerana sudah lama tidak bersua muka.
"Nak terkejutkan Baby (Maria Danisha), Mama yang terkejut sebab ada Marissa Dania. Abang (Danish Hakim) memang selalu ada dimana-mana.
"Lama tak jumpa anak Mama yang seorang ini, rindu sangat-sangat! Terima kasih datang semalam raikan Baby.
"Datang selalu okay? Daiyan, Dayana, Darda semua rindu dan sayang Adik (Marissa) sangat! Tak berkurang walau sedikitpun, nanti kita rancang berjalan sama-sama," katanya.
Sebelum ini, Abby dikatakan sudah lama tidak dapat menghubungi Marissa dan beberapa kali meluahkan rasa rindu terhadap anaknya di media sosial setelah bergelar isteri kepada Ahmad Aslam.
Terbaharu, media tempatan melaporkan Marissa hamil enam bulan dan terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit perut, bagaimanapun bayi dalam kandungannya meninggal dunia ketika dilahirkan secara pra matang.
Mengintai di ruangan komen, warganet tidak dapat menahan sebak apabila kasih sayang anak-beranak tersebut kembali bertaut selepas berdepan episod duka.
"Alamak kita tersentuh pula, kasih ibu sampai ke syurga," ujar Ittarasdi Irry.
"Itulah ibu. Sesakit mana dia diinjak-injak, sesakit mana hati ditoreh, kalau dah namanya anak memang Abby ibu hebat.
"Sebab itu ALLAH SWT cakap doa ibu mustajab. Semoga ALLAH merahmati keluarga ini," ulas Azri Nasir pula.