60 individu terkandas akibat air deras di Kolam Puteri
TANGKAK - [DIKEMAS KINI] Seramai 60 orang awam yang terkandas di Kolam Puteri, Gunung Ledang Resort, di sini, akibat aliran air deras berjaya diselamatkan pihak bomba, pada petang Ahad.
Menurut Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Tangkak, Pegawai Bomba Kanan II Asli Hashim, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 12.51 tengah hari mengenai orang awam yang terkandas di lokasi tersebut akibat aliran air deras dari puncak gunung.
Katanya, sebaik menerima panggilan berkenaan, satu pasukan keluaran operasi (PKO), melibatkan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu jentera pacuan empat roda Hilux, dan unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS), dihantar ke lokasi bersama Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba, Rafiah Aziz.
"Setibanya PKO ke lokasi didapati seramai 60 orang awam terkandas akibat aliran deras air dari puncak gunung kerana hujan lebat.
"PKO bagaimanapun, berjaya bertindak membawa kesemua mangsa menyeberangi sungai menggunakan rescue rope.
"Hasilnya, kesemua 69 mangsa berjaya diselamatkan, " katanya.
Menurutya, operasi ditamatkan pada jam 1.18 tengah hari.