Ikan paus bungkuk kali pertama muncul di perairan Pulau Redang
KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Seekor ikan paus yang muncul di perairan Pulau Redang di sini dipercayai daripada spesies Humpback Whale (Megaptera novaeangliae) atau digelar paus bungkuk.
Pensyarah Biologi Marin Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Maizah Mohd Abdullah berkata, kemunculan ikan berkenaan dianggap istimewa kerana ia belum pernah dilaporkan dilihat di lokasi tersebut sebelum ini.
"Walaupun agak sukar untuk mengenal pasti ikan tersebut kerana rakaman video yang kurang jelas, saya percaya ia daripada spesies paus bungkuk.
"Rakaman video itu menunjukkan bahagian kepala paus tersebut, tetapi pengecaman pada bentuk sirip dorsal menunjukkan ia adalah spesies Humpback Whale (Megaptera novaeangliae) atau paus bungkuk," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Beliau yang juga Ketua Projek Ocean Hope berkata, ikan tersebut merupakan haiwan mamalia yang melakukan penghijrahan atau migrasi paling jauh berbanding haiwan mamalia lain serta menggunakan perairan Okinawa, Jepun dan Filipina untuk membiak.
"Spesies tersebut boleh dijumpai di perairan laut dalam seluruh dunia, namun populasi paling hampir dengan perairan Malaysia adalah dari kawasan Western North Pacific.
"Jika di Malaysia, ikan tersebut pernah dilaporkan ditemui di perairan Pulau Pangkor dan Miri, Sarawak," katanya.
Menurutnya, haiwan yang memakan krustasea (krill) seperti udang dan ikan kecil dengan cara menapis air laut dalam jumlah yang banyak itu tidak berbahaya atau memberi ancaman kepada penyelam atau nelayan.
Bagaimanapun, katanya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak menghampiri ikan tersebut kerana dikhuatiri boleh mendatangkan kecederaan secara tidak sengaja kepada manusia ketika ia berenang disebabkan saiznya yang besar.
"Warga tempatan dinasihatkan supaya berhati-hati ketika mengadakan aktiviti di perairan berhampiran dan jika terserempak dengan mana-mana spesies haiwan marin terancam seperti ini, perlu memperlahankan bot dan tidak cuba untuk menghampirinya dengan terlalu rapat.
"Kemunculan haiwan mamalia marin yang seperti Humpback Whale ini memberi mesej untuk semua pihak menjaga kelestarian lautan," ujarnya.
Pada Sabtu tular di media sosial rakaman video berdurasi 39 saat memaparkan sekumpulan nelayan teruja apabila terserempak dengan seekor paus yang ditemui muncul di perairan Pulau Redang.
@sinarharianonline Beberapa individu teruja menjumpai ikan paus di Pulau Redang, Terengganu pada Sabtu. Video tular di media sosial itu meraih perhatian ramai kerana difahamkan haiwan itu pertama kali ditemui dan muncul di lokasi tersebut. Menjengah di ruang komen, ada berseloroh, "Dok jauh mane doh Pulau Redang dengan Gong Badak mungkin ikan paus nok g kat RXZ Member kot." #SinarHarian#SinarTerkini#IkanPaus#Terengganu#Video#Viral original sound - Sinar Harian