Peruntukan RM50 juta atasi banjir di Bayan Baru

Bayan Baru dilanda banjir kilat pada Sabtu lalu selepas hujan lebat lebih tiga jam. (Gambar kecil: Zairil)
Bayan Baru dilanda banjir kilat pada Sabtu lalu selepas hujan lebat lebih tiga jam. (Gambar kecil: Zairil)
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang memperuntukkan hampir RM50 juta untuk penyelesaian jangka masa pendek dan panjang bagi masalah banjir di Bayan Baru.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, susulan daripada kejadian banjir di kawasan tersebut baru-baru ini, kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang telah mengambil langkah untuk mengenal pasti punca utamanya.

"Antara punca yang telah dikenalpasti adalah faktor hujan sangat lebat melebihi 65 milimeter (mm) di kawasan setempat yang menyebabkan paras air di dalam parit meningkat secara mendadak.

"Selain itu, faktor kapasiti parit sedia ada yang tidak mampu menampung jumlah hujan yang tinggi, ketidaklancaran aliran air dari parit dalaman ke Rumah Pam Bayan Baru serta pertembungan fenomena air laut pasang tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Zairil menjelaskan, untuk penyelesaian jangka pendek, sebanyak RM300,000 telah diperuntukkan bagi pelaksanaan kerja penyelenggaraan segera di beberapa kawasan yang dikenal pasti.

"Kawasan-kawasan itu termasuk Sungai Relau, Parit MOX, Muka Sauk Rumah Pam Taman Iping 1, Muara Permatang Damar Laut, Parit Konkrit Taman Melati dan Parit Cabang Sungai Nibong.

"Kerajaan negeri juga akan membelanjakan RM365,000 untuk melaksanakan beberapa langkah penyelesaian jangka pendek iaitu pemasangan dua unit pam bergerak bersaiz 280 liter sesaat (l/s) di sump berhampiran Sungai Relau.

"Ia bagi membantu mempercepatkan pengaliran air dari saliran utama di kawasan pembangunan sekitar Jalan Persiaran Mahsuri ke Sungai Relau," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, kerajaan negeri juga memasang tiga struktur kawalan bagi melencongkan dan melancarkan pengaliran air dari kawasan pembangunan sekitar Jalan Persiaran Mahsuri ke Sungai Relau.

"Kita juga membuat pemasangan satu unit pam hidraulik bergerak (280 l/s) dan satu unit pam mudah alih 'self-priming' (150 l/s) di Rumah Pam Taman Iping 1 untuk menyokong operasi 'screw pump' di Taman Iping.

"Selain itu, kita juga melaksanakan program pemuliharaan Sungai Nibong dan Sungai Nipah," katanya.

Sementara itu, bagi penyelesaian jangka panjang pula, Zairil berkata, kerajaan negeri merancang beberapa projek tebatan banjir dengan anggaran kos sebanyak RM48.1 juta, yang kini dalam peringkat pelaksanaan.

"Ia meliputi pembinaan kolam takungan di Taman Kejiranan Lintang Nibong Di Bawah Program Adaptasi Iklim Berasaskan Alam Semula Jadi Pulau Pinang (PNBCAP) Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bayan Baru Fasa 2, RTB Sungai Nibong Kecil, RTB Parit MOX dan RTB Sungai Tiram.

"Kerajaan Pulau Pinang kekal komited dalam menangani isu banjir di Bayan Baru dan kawasan sekitarnya. Dengan kerjasama erat pelbagai pihak, diharap usaha ini akan mengurangkan risiko banjir serta memastikan kesejahteraan penduduk setempat," katanya.

Sabtu lalu, Sinar Harian melaporkan beberapa kawasan antaranya Bayan Baru, Farlim dan Kepala Batas dilanda banjir kilat susulan hujan lebat dan angin kencang yang melanda Pulau Pinang.

Angin kencang turut menyebabkan beberapa pokok tumbang di Balik Pulau dan Pulau Burung di Seberang Perai Selatan.

Antara kawasan yang terjejas di Bayan Baru termasuk Jalan Mahsuri, Jalan Mayang Pasir dan kawasan berhampiran Pasar raya Sunshine Square.

Ia merupakan kali kedua banjir kilat berlaku di Bayan Baru selepas hujan lebat lebih tiga jam.

Sebelum itu, beberapa jalan di Bayan Baru dilanda banjir selepas hujan lebat pada awal pagi Selasa minggu lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!