Tekah: Antara sejarah dan sastera
TEKAH satu nama ganjil di Perak. Ada dua buah kampung berkongsi nama, di Taiping dan Gopeng. Tekah antara dua lokasi ini memiliki keunikan dan sejarah tersendiri.
Sejarah kecil dan terpencil itu seandainya diolah semurni mungkin ke dalam genre sastera menghasilkan karya muluk untuk tatapan generasi mendatang. Justeru, pemugaran sejarah kecil itu perlu dirakam kembali untuk tidak dianggap mitos pada zaman mendatang kerana persepsi warga zaman berubah seiring dengan kemajuan di sekeliling mereka.
Sama ada Tekah di Taiping atau Gopeng asalnya sebuah kampung tradisional Melayu yang di perut buminya banyak tersimpan bijih timah. Tekah Gopeng dibuka oleh perantau dari tanah seberang pada sekitar tahun 1850-an manakala Tekah Taiping dipercayai sebahagian perantau itu melanjutkan penerokaan ke situ kerana hendak mencari lokasi mendulang atau melampan bijih timah.
Aktiviti mendulang dan melampan ialah satu kaedah mengasingkan bijih timah daripada pasir yang dipraktikkan masyarakat Melayu zaman dahulu. Pada masa itu, bijih timah menjadi bahan komoditi utama Tanah Melayu. Harganya tinggi menyebabkan ramai yang berebut-rebut mencari tanah mengandungi logam tersebut.
Kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San di Larut berperang sesama sendiri kerana tanah lombong. Penjajah Inggeris menjajah Perak setelah termaterinya ‘Perjanjian Pangkor’. Antara faktor utama lahirnya perjanjian itu kerana British hendak menguasai perusahaan bijih timah.
Mereka membina prasarana asas terutama sistem pengangkutan bagi mengusung bijih timah untuk dieksport ke England yang memerlukan logam tersebut bagi menjana revolusi perusahaan yang sedang berlaku di Eropah.
TEKAH TERKORBAN
Akibatnya, Tekah di dua lokasi itu ‘terkorban’ kerana dilombong oleh penjajah. Misalnya, Kampong Tekah Gopeng (tapak asal berhadapan RTC, Gopeng sekarang) oleh syarikat lombong British, Osborne & Chappel pada tahun 1906 yang dikendalikan Tekka Limited sekali gus mengubah ejaan ‘Tekah’ kepada ‘Tekka’ seperti juga Kampung Tekah di Taiping menjadi Tekka Taiping Limited pada 1911.
Selepas dimakan lombong, Kampung Tekah Gopeng lenyap, namun pada 1962 kerajaan membuka penempatan baharu dinamakan Kampung Tersusun Tekah 2 yang terletak di Mukim Sungai Raia, Kampung Kepayang (bersebelahan Kampung Sindu, Pangkalan Baru).
Kampung Tekah Taiping pun tinggal nama tetapi wujud beberapa penempatan baharu berupa taman perumahan termasuk pembinaan Lapangan Terbang Tekah pada 1929.
Makna ‘tekah’ ialah longgokan pasir bercampur bijih timah yang menunggu masa didulang atau dilampan. Seperti perkataan ‘kelian’ bererti lombong manakala ‘tekah’ merupakan longgokan pasir. Kedua-dua perkataan itu cukup sohor dalam kalangan perantau yang membuka di kedua-dua kampung tersebut.
Dipercayai masyarakat awal Tekah Gopeng dan Tekah Taiping adalah bersaudara, mereka saling kenal-mengenali antara satu dengan yang lain. Salah seorang anak kelahiran Tekah Gopeng ialah tokoh tarian ‘Rontak Kudo’ (Rentak Kuda), Mat Misir Tanjoli, 85 (meninggal dunia 2023).
Allahyarham popular dengan panggilan Pak Misir, bertanggungjawab menghidupkan kesenian tradisi Melayu Rao (Rawa) kerana memiliki suara lemak merdu dan alunan nafas yang panjang ketika melagukan rentak kuda.
Pak Misir yang berbakat itu mendapat didikan menyanyi daripada ibunya bernama Siti Onai Sutan Kerajaan yang berasal dari Rao, Pasaman, Sumatera Barat. Ketika berusia belasan tahun, Pak Misir acap kali menyanyi bersama-sama ibunya. Menurut Pak Misir ibunya ketika di Rao sering dipanggil menyanyi ‘Rontak Kudo’ dalam majlis-majlis keramaian seperti kenduri kahwin serta acara kesenian. Siti Onai berkahwin dengan Tanjoli di Gopeng, Perak. Siti Onai datang ke Tanah Melayu sekitar 1850-an bersama-sama bapa saudaranya iaitu Seperintah meneroka hutan di Selboh, Parit manakala Sutan Berayun menetap di Semenyih, Selangor. Bapa Siti Onai, Sutan Kerajaan tidak ikut merantau kerana dia seorang raja di Rao. Fungsinya sebagai raja tidak melayakkan beliau merantau.
Tanjoli bapa Pak Misir berasal sekampung dengan Siti Onai. Mereka datang ke Gopeng dengan tujuh kelamin yang diketuai Haji Said. Diyakini merekalah yang meneroka Tekah.
PIAGAM TAIPING
Tekah, Taiping pernah mencatat sejarah menerima kedatangan pesawat membawa Presiden Indonesia, Sukarno dan Dr Mohd Hatta untuk berbincang dengan tokoh nasionalis serta pejuang kemerdekaan, Dr Burhanuddin al-Helmi dan Ibrahim Yaakob membincangkan perisytiharan kemerdekaan Indonesia –Tanah Melayu dalam sebuah negara bangsa, Melayu Raya pada 12 Ogos 1945.
Pertemuan itu dikenali dalam sejarah sebagai ‘Piagam Taiping’ termeterai di ibu pejabat Kempetai (Polis Tentera Jepun) dikenali dengan nama Gunseikanbu (kini: SMK St George).
Penulis mengungkapkan detik pertemuan Sukarno, Hatta dengan Burhanuddin-Ibrahim dalam sajak bertajuk Taiping Menyimpan Kisah Sendiri (2019:158) antara lain menyatakan seperti berikut:
Apabila KRIS menemukan
Sukarno-Hatta; Burhanuddin-Ibrahim
Taiping sebenarnya menyimpan kisah sendiri
Janjinya merdeka bumi Melayu diisytihar
Sesudah Jepun keluar
Tujuh belas Ogos sembilan belas empat puluh lima
Merdeka, merdeka, merdeka
Namun Jepun lebih awal tewas
Hiroshima dan Nagasaki punah
janji termeterai mati tiba-tiba
Burhanuddin–Ibrahim terpempan
Strategi pelan B tidak termakan
Komunis menyerbu masuk
Bumi Melayu menjadi padang keliru.
Selain ‘Piagam Taiping’, lapangan terbang ini merupakan sejarah berharga kepada negara kerana ia tercatat sebagai lapangan terbang pertama terbina di negara ini. Justeru, langkah pemuliharaan wajar disegerakan agar bangunan dan menaranya yang berusia 95 tahun itu tidak menyembah bumi.
Lantaran itu, penulis harus mengungkap sejarah kecil Tekah di dua lokasi tersebut sebagai tema penulisan anekdot, esei, cerpen mahupun sajak yang boleh dibukukan dalam bentuk kompilasi sebagai dokumentasi menerusi pelantar sastera.
Karya sastera berupaya membangkitkan kepekaan, membenih kemanusiaan serta menggerak deria ubah pemegang taruh untuk bertindak dengan nada lembut, sopan serta lunak menerusi kata-kata puitis, melankolik dan bombastik.
Demikian serba sedikit sejarah kecil Tekah antara dua lokasi digenangi dengan riwayat unik untuk diungkap kembali dalam genre sastera bagi menghidupkan kisah silam yang pernah berlaku sebagai iktibar, renungan serta mencambahkan keinsafan agar sesuatu yang kita punyai, wajar dijaga dan dihargai serta tidak ‘terlepas’ ke tangan orang lain. Hanya bidang sastera yang mampu mengungkapkan keinsafan itu!
* M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)