Perwakilan persoal kesungguhan Pas perjuang nilai integriti, amanah

Mohd Saifizi
Mohd Saifizi
A
A
A

TEMERLOH - Seorang perwakilan Pas hari ini mempersoalkan kesungguhan parti itu dalam memperjuangkan nilai integriti dan amanah.

Perwakilan dari Perlis, Mohd Saifizi Saidon berkata, ini kerana hingga kini tiada sebarang laporan atau perancangan diterima daripada Badan Perhubungan Pas negeri mahupun Pas pusat berkaitan isu Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan anaknya, Mohd Syafeeq yang terpalit dengan salah guna kuasa.

"Isu Menteri Besar dan anak Menteri Besar Perlis yang terpalit dengan salah guna kuasa hingga melibatkan institusi diraja telah memberi kesan buruk kepada Pas.

"Malangnya hingga kini Pas Perlis tidak menerima sebarang laporan atau perancangan tentang isu ini, di mana kesungguhan kita dalam memperjuangkan nilai integriti dan amanah dibawa Rasulullah SAW,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Muktamar Pas ke-70 di sini.

Sehubungan itu, beliau menyarankan parti agar lebih teliti dan komited dalam memilih calon menteri besar dan exco kerajaan negeri dengan kawalan serta panduan yang lebih ketat.

Mohd Saifizi berkata, pucuk pimpinan Pas pusat perlu memastikan pemimpin dibentuk berdasarkan acuan Rasulullah SAW bagi memastikan lahirnya pemimpin yang bersifat siddiq, amanah, tabligh dan fatanah.

"Kita tidak mahu individu yang menerajui kerajaan dipilih kerana pesuruhjaya (Pas negeri) ataupun kedudukan politik, kepimpinan harus mentadbir kerana mereka amanah dan bijak bukan sekadar mampu berpolitik.

"Pas kini kelihatan semakin jauh daripada asas kualiti kepimpinan Islam apabila terdapat pemimpin yang berkaraoke dipertahankan oleh ulama Pas malah ada yang bersalam dengan wanita namun tidak dikenakan tindakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, perwakilan sayap Ameerah Malaysia, Dr Siti Aminah Muhammad Imran berkata, Pas tidak boleh hanya berdiam diri dalam isu membabitkan keganasan terhadap wanita dan masalah sosial generasi muda.

Dalam perbahasannya bertajuk ‘Mendepani Cabaran Terkini’, beliau berkata, Pas perlu memberi respons dan reaksi yang sepatutnya terhadap isu sedemikian.

"Muslimin (lelaki) yang berada di depan saya ini perlu bersama-sama muslimat (wanita) apabila ada isu berkaitan wanita, jangan biarkan wanita sahaja yang bersuara, jangan biarkan wanita sahaja yang bangun,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!