X

Kindly register in order to view this article
!

Najib bersumpah tak arah Nik Faisal masukkan RM42 juta ke akaun peribadi

Najib
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersumpah di Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau tidak pernah mengarahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil untuk memindahkan RM42 juta wang syarikat ke akaun peribadinya.

Beliau melafazkan sumpah berkenaan ketika menjawab soalan peguam Farhan Read pada sesi pemeriksaan semula.

“Wallahi Wabillahi Watallahi," katanya ketika menjelaskan mengenai penafian mengenai tindakan Nik Faisal dalam SRC pada Disember 2014 hingga Februari 2015.

Menurutnya, beliau tidak pernah memberi arahan kepada Nik Faisal malah tiada bukti atau tiada saksi tampil sehingga kini.

Sebagai seorang Muslim katanya, beliau tidak pernah beri arahan kepada Nik Faisal untuk bertindak sedemikian.

Ketika sesi semula di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada hari ke-74 pendengaran hari ini, Najib juga berkata, tiada asas untuk menyatakan beliau mengambil wang dari syarikat di bawah Kementerian Kewangan seperti SRC International.

Farhan: Datuk Seri, tolong jelaskan mengenai cadangan pihak pendakwaan, bahawa Datuk Seri meletakkan kroni dalam lembaga SRC untuk memindahkan RM42 juta ke dalam akaun peribadi.

Najib: Ia amat jelas ditunjukkan apabila tidak ada keterangan bertulis mengenai saya secara khusus mengarahkan untuk memindahkan RM42 juta ke dalam akaun peribadi saya, sebagai rasuah untuk memastikan kelulusan jaminan kerajaan berhubung pinjaman RM4 bilion kepada SRC.

"Jika saya mempunyai niat untuk menipu, saya mesti sangat bodoh kerana setiap perbuatan sama ada mencuri, menyogok atau masukkan wang dalam akaun peribadi akan diketahui oleh Bank Negara. Saya mungkin bukan orang yang paling bijak tetapi saya tidak sebodoh itu,” katanya.

Sebelum itu ketika menjawab soalan pendakwaraya V Sithambaram, Najib berkata, beliau tidak pernah menarik diri dari mesyuarat Kabinet semasa perbincangan mengenai jaminan pinjaman RM4 bilion kepada SRC.

Ini kerana katanya, ia tidak melibatkan anggota keluarga malah semua menteri kewangan tidak pernah berundur jika berdepan isu itu.

"Orang lain yang biasanya menasihati akan menjadi setiausaha kepada kabinet, Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kabinet Tan Sri Mazidah Abdul Majid yang biasanya menasihatkan para menteri jika mereka perlu mengundurkan diri.

"Beliau tidak pernah menasihatkan supaya saya berundur, tiada asas bagi saya untuk menarik diri saya sendiri," katanya.

Pada 11 November tahun lalu, Najib diperintah membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dengan dana SRC International.

Mahkamah membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas Perdana Menteri itu.