Peguam agensi sahkan Sajat masih di Tanah Suci

Gambar Nur Sajat di media sosial mendapat kecaman banyak pihak apabila usahawan kosmetik itu mengenakan pakaian jemaah wanita ketika di Makkah. - Foto Instagram Sajat
Gambar Nur Sajat di media sosial mendapat kecaman banyak pihak apabila usahawan kosmetik itu mengenakan pakaian jemaah wanita ketika di Makkah. - Foto Instagram Sajat
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Peguam agensi yang membawa jutawan kosmetik, Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau Nur Sajat mengerjakan umrah mengesahkan ahli perniagaan itu masih berada di Tanah Suci.

Peguam terbabit, Syahidah Hanom berkata, pihak agensi juga sedang mengadakan perbincangan dengan pihak Wisma Putra serta pihak berkuasa berkaitan di Arab Saudi sebelum membuat sebarang keputusan.

"Saya tidak boleh mengesahkan sama ada dia (Nur Sajat) sudah dibawa keluar dari Tanah Suci atau sebaliknya tetapi setakat ini (sehingga petang ini) saya boleh kata dia masih berada di Tanah Suci.

"Kita masih berbincang mengenai perkara itu di sana dan hanya Wisma Putra sahaja yang boleh memberi kenyataan mengenainya," kata peguam Albayt Travel (M) Sdn Bhd itu ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, video dan gambar Nur Sajat menjadi tular di media sosial sehingga mendapat kecaman pelbagai pihak susulan kontroversi jutawan kosmetik itu mengenakan pakaian jemaah wanita ketika di Makkah.

Ketika ditanya mengenai laporan media mengenai Albayt Travel telah mengesahkan ahli perniagaan itu sudah dibawa keluar dari Tanah Suci, katanya, perkara itu tidak dimaklumkan kepada pihaknya di Malaysia.

"Kita tidak tahu apa yang sedang dibincangkan di sana (Arab Saudi) sama ada dia sudah dibawa pulang atau tidak dan setakat ini itu sahaja yang kita tahu (masih berada di Tanah Suci)," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan kesal Sajat bertelekung di Tanah Suci: Mujahid

Artikel Berkaitan:

Kerajaan kesal dengan tindakan Sajat dan rakan-rakan yang bertelekung serta menjalani ibadah umrah seperti wanita.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, tindakan itu telah mencemarkan imej Islam dan hubungan baik Malaysia dengan Arab Saudi.

"Saya kesal dengan tindakannya, sudahlah itu dipaparkan pula di Instagram seolah-olah bukan kesalahan," katanya kepada pemberita selepas townhall Maqasid Syariah di Kementerian Kesihatan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya agensi pelancongan yang membawa Sajat, 35, sepatutnya sedia maklum dengan status lelaki itu.

"Saya tidak tahu apa janji dia kalau bawa pergi umrah. Apa janji dia untuk tidak menimbulkan perkara yang boleh mencetuskan kemarahan rakyat," katanya.