Rancang ibadat, jangan sia-siakan masa di Tanah Suci

Seorang jemaah haji, Azli Abd Rahman, 51, memanfaatkan masa yang ada dengan membaca al-Quran di surau hotel Abraj Al Janadriyah.
Seorang jemaah haji, Azli Abd Rahman, 51, memanfaatkan masa yang ada dengan membaca al-Quran di surau hotel Abraj Al Janadriyah.
A
A
A

MAKKAH - Jemaah haji diingatkan supaya memanfaatkan masa yang berharga di Tanah Suci dengan melipatgandakan ibadat kerana peluang untuk berada di bumi penuh barokah ini mungkin hanya hadir sekali seumur hidup.

Oleh itu, Pengarah Operasi Bimbingan Haji, Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, setiap jemaah haji perlu mempunyai perancangan masing-masing bagi memenuhi ruang masa yang ada.

Tengku Aziz
Tengku Aziz

"Di Tanah Suci ALLAH akan gandakan pahala menjadi 100,000 kali dan kemungkinan ALLAH akan tambah lebih daripada 100,000 pahala berdasarkan ketakwaan.

"Sertai program ceramah Tabung Haji (TH), tazkirah dan jika ke Masjidil Haram beriktikaf serta memandang Kaabah kerana dengan berbuat demikian, kita akan mendapat pahala.

"Datang ke sini 30 hingga 40 hari masa kita perlu isi dengan untuk ibadat kepada ALLAH, baca al-Quran kerana kalau khatam sekali seumpama khatam 100,000 kali berbanding di tempat lain," katanya.

Ujarnya, tidak sukar untuk khatam al-Quran kerana jika mempunyai perancangan untuk mendalami kalam ALLAH itu dengan istiqamah.

"Kita tengok al-Quran cetakan Uthmani ada 600 muka surat, jadi kita bahagi dengan 30 juzuk ertinya dalam 20 muka surat. Baca satu juzuk sehari maksudnya dapat khatam satu al- Quran.

"Jadi untuk dapat 20 muka surat mudah sahaja kerana satu hari ada lima waktu solat. Setiap waktu solat kita boleh baca empat muka surat," katanya.

Ujar beliau, jika ada kemampuan boleh perbanyakkan lagi bacaan al-Quran dan ibadat lain.

"Daripada pengamatan saya kalau jemaah haji tiada perancangan mereka akan membuang masa dengan tidur berlebihan, makan dengan banyak...jumpa kawan-kawan berborak perkara tak berfaedah.

"Sedangkan inilah masa nak beribadat kepada ALLAH dengan peroleh haji yang mabrur kerana ALLAH sudah janji tiada balasan bagi haji yang mabrur kecuali syurga," katanya.

Dr Najib
Dr Najib

Mengulas perkara yang sama, Pembimbing Ibadat Haji, Dr Najib Abdullah berkata, di Tanah Suci ALLAH telah sediakan medan bagi umat Islam untuk kumpul pahala.

"Kita kena buat perkara yang ALLAH suka antaranya bertawaf, solat berjemaah, bersedekah, puasa dan cuba lakukan semaksimum mungkin seiring dengan keupayaan kesihatan.

"Jangan lalai dengan setiap detik yang ada kerana waktu umpama pedang, jika kamu tak potong ia, ia akan memotong kamu," katanya.

Ujar beliau, perancangan ibadat penting supaya jemaah tidak berasa menyesal apabila hampirnya tarikh untuk pulang ke tanah air nanti.

"Janganlah apabila hampirnya waktu untuk pulang nanti baru tersedar bahawa tidak banyak ibadat dilakukan sepanjang berada di sini. Pada masa itu mungkin dah terlewat," katanya.

Berkongsi tips untuk mendekatkan diri dengan al-Quran, Dr Najib berkata bacalah kalam ALLAH itu dengan terjemahannya InsyaALLAH tidak akan menjadi bosan.

"Baca ayat al-Quran itu memang dapat pahala tapi akan mengantuk, tapi kalau kita baca dengan maknanya maka satu ketika kita tidak akan dapat berhenti membaca.

"Rasa sangat indah dan nikmat dengan membaca al-Quran.Kita rasa ingin tahu apa yang ALLAH cerita dalam Quran dan dahagakan wahyu ALLAH," katanya.