Penyu berisiko pupus akibat pencemaran plastik
KUALA TERENGGANU - Pencemaran sampah sarap terutama plastik yang menguasai 40 peratus permukaan laut di seluruh dunia dilihat akan mempengaruhi kepupusan hidupan laut terutama spesies penyu menjelang 2050.
Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Uzair Rusli berkata, keadaan tersebut dikhuatiri memberi kesan negatif terhadap haiwan marin yang menjadi ikon kebanggaan negeri Terengganu itu sekiranya tidak ditangani dengan segera.
Menurutnya, kewujudan berbilion tan sampah di lautan meningkatkan potensi haiwan tersebut untuk menjadikan sisa buangan itu sebagai sumber makanan.
"Penyu merupakan antara hidupan marin yang paling terjejas disebabkan sering termakan plastik kerana keliru dan tertukar dengan sumber makanan sebenarnya iaitu ubur-ubur.
"Kajian saintifik pernah melaporkan bahawa sisa plastik di lautan mempunyai bau yang hampir sama dengan makanan semula jadi penyu sekali gus menjadi antara punca kematian hidupan tersebut.
"Kewujudan plastik juga mengancam penyu betina dewasa yang naik ke daratan untuk bertelur kerana terdapat sisa plastik di pesisir pantai," katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.
Bukan setakat itu sahaja, Mohd Uzair berkata, proses perpindahan anak penyu yang merangkak dari sarang ke pantai juga sering terganggu apabila dihalang dengan kehadiran sampah sarap di kawasan pantai.
"Banyak cabaran terpaksa dilalui anak penyu untuk kembali semula ke laut, selain sampah sarap mereka juga berdepan ancaman oleh haiwan pemangsa.
"Ketika berenang ke laut, dianggarkan lebih separuh anak penyu telah termakan sisa plastik.
"Kita juga sering menemukan penyu dewasa yang mati dan terdampar di pantai kerana termakan bahan yang sama," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kajian Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Pentaksiran Impak, Pusat Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung di Pulau Pinang menemukan mikroplastik dalam jumlah berbeza pada setiap spesies ikan yang mana beberapa jenis daripadanya menunjukkan tahap pencemaran lebih tinggi.
Katanya, penemuan itu amat penting kerana memberi gambaran bagaimana mikroplastik berpindah daripada persekitaran laut kepada ikan dan kerang, sekali gus membahayakan kesihatan manusia yang memakan sumber protein tersebut.
"Banyak lagi kesan plastik yang belum kita ketahui, tetapi kita jangka bahawa alam ini sudah tercemar dan ini dibuktikan dengan kajian pakar global bahawa sampah akan lebih banyak di permukaan laut dunia berbanding ikan pada tahun 2050 nanti.
"Bagi membendung perkara ini, kita amat berharap agar sokongan terhadap pendidikan pengurusan sisa pepejal secara betul dapat terus diberi tumpuan dan penekanan oleh kerajaan," katanya.
Selain itu, beliau memberitahu, kesan pemanasan yang dijana oleh sisa plastik yang terurai mengganggu proses pengeraman telur iaitu memberi kesan terhadap penghasilan anak penyu jantan.
"Suhu yang panas akan menghasilkan lebih banyak anak betina yang menyebabkan nisbah jantina penyu menjadi tidak seimbang dan merencatkan proses pembiakan penyu.
"Keadaan ini memberikan kesan berangkai di mana kepupusan penyu turut memberi kesan terhadap hubungan simbiosis hidupan marin melibatkan kitaran dan keterjaminan makanan," katanya.