Wanita rugi RM136,700 diperdaya scammer menyamar pegawai KKD, polis

Seorang wanita menjadi mangsa sindiket penipuan menyamar sebagai pegawai Kementerian Komunikasi Digital (KKD) dan polis hingga kerugian RM136,700. Gambar hiasan
Seorang wanita menjadi mangsa sindiket penipuan menyamar sebagai pegawai Kementerian Komunikasi Digital (KKD) dan polis hingga kerugian RM136,700. Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang wanita menjadi mangsa sindiket penipuan menyamar sebagai pegawai Kementerian Komunikasi Digital (KKD) dan polis hingga kerugian RM136,700.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 34 tahun menyerahkan wang simpanannya itu kepada suspek kononnya bagi tujuan siasatan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyeludupan dadah dan penggubahan wang haram.

Menurutnya, mangsa menerima panggilan telefon dari suspek yang menyamar sebagai pegawai Bahagian Keselamatan Siber Kementerian Komunikasi Putrajaya itu, 2 September lalu.

"Melalui panggilan itu, mangsa telah diberitahu terdapat aduan terhadap nombor telefon digunakan kerana terlibat dengan kegiatan 'scammer'.

"Panggilan kemudiannya disambungkan kepada suspek kedua (pegawai polis) untuk semakan sebelum mangsa ditakutkan dengan dakwaan terlibat dengan aktiviti jenayah berat itu," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Yahaya berkata, suspek mengarahkan mangsa muat turun aplikasi Bank Negara untuk mendaftarkan semua maklumat perbankan.

"Mangsa turut diarah mendedahkan jumlah wang simpanannya yang ada dan memindahkan RM136,700 melalui mesin juruwang automatik (ATM) ke dua akaun bank yang diberikan.

"Selepas wang itu dipindahkan seperti diarahkan, mangsa menyedari telah ditipu dan tampil membuat laporan polis di sebuah balai di Rompin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu katanya, orang ramai diingatkan supaya tidak mudah percaya dan panik terhadap sebarang dakwaan jenayah yang diterima melalui panggilan telefon dari individu yang tidak dikenali.

"Buat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!