Op Global: Polis siasat sumber dana rumah amal, pusat jagaan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada sidang media di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini pada Jumaat. Foto Bernama
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada sidang media di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan dana yang disumbangkan kepada rumah amal serta jagaan dipercayai mempunyai hubungan dengan sebuah syarikat menerusi Op Global baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan akan dijalankan meliputi setiap aspek termasuk sumber dana itu diperolehi.

"Siasatan merangkumi pelbagai sudut termasuk sekiranya ada pihak lain yang terlibat dalam menyumbangkan dana bagi pengoperasian rumah amal tersebut dan lain-lain perniagaan.

"Selain itu, siasatan mendapati terdapat juga pusat penjagaan warga emas yang menerima dana daripada syarikat terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Mess Pegawai, Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini pada Jumaat.

Katanya, pengurusan tertinggi sebuah syarikat tempatan akan dipanggil dalam masa terdekat berkaitan siasatan dijalankan.

Ujar Razarudin, siasatan lanjut masih dijalankan setakat ini terutamanya melibatkan dakwaan mengeksploitasi kanak-kanak.

"Kita tidak menolak kemungkinan akan memanggil mereka dalam masa terdekat cuma setakat ini tiada keperluan untuk berbuat demikian kerana siasatan masih di peringkat awal.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan yang teliti meliputi pelbagai aspek sebelum apa sahaja tindakan susulan diambil selepas ini," katanya.

Pada Rabu, media melaporkan mangsa terdiri 201 kanak-kanak lelaki dan 201 perempuan berusia setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan di premis dipercayai milik GISBH Holdings.

Razarudin dilaporkan berkata, dalam operasi Ops Global yang dijalankan jam 6 hingga 11 pagi itu, pihaknya turut menahan 171 individu terdiri tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!