Chelsea hilang sabar dengan Mudryk

Pengendali Chelsea, Enzo Maresca (kanan) tidak gembira dengan persembahan Mudryk pada aksi kedua EPL menentang Wolves bulan lalu. Foto: Agensi
Pengendali Chelsea, Enzo Maresca (kanan) tidak gembira dengan persembahan Mudryk pada aksi kedua EPL menentang Wolves bulan lalu. Foto: Agensi
A
A
A

CHELSEA terbuka untuk menjual atau meminjamkan Mykhaylo Mudryk pada jendela perpindahan Januari tahun hadapan, jika pemain Ukraine itu masih gagal meningkatkan prestasinya.

Pemain sayap berusia 23 tahun itu gagal memenuhi jangkaan harga 88.5 juta pound (RM527.13 juta) sejak menyertai Chelsea dari Shakhtar Donetsk pada 2023.

Mudryk yang dianggap bintang masa depan negaranya semakin terpinggir di Stamford Bridge dan sekadar memanaskan bangku pemain simpanan dalam tiga pertandingan terakhir The Blues.

Menurut laporan Givemesport, Chelsea menawarkan diri untuk melelong pemain itu pada Januari 2025.

Sumber di Chelsea mengatakan bahawa pembelian Mudryk adalah satu kesilapan besar dan kelab itu terpaksa menyelesaikan masalah tersebut dengan merekrut Pedro Neto dari Wolves dan Jadon Sancho dari Manchester United.

Pemain itu mampu menyelamatkan kariernya bersama Chelsea andai tampil secara konsisten selepas ini, namun statistik Mudryk ketika ini kurang memberangsangkan apabila sekadar menyumbat lima gol dan empat bantuan jaringan dalam 48 pertandingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Sebelum menyertai Chelsea, Mudryk berpotensi menyarung jersi Arsenal susulan prestasi cemerlangnya bersama Shaktar pada musim 2022/23.

Namun akhirnya Mikel Arteta memilih merekrut Leandro Trossard dari Brighton dan situasi itu dianggap 'rahmat' buat penyokong The Gunners.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!