Tetap berhubung dengan ibu bapa walau sudah berpisah, tinggal berjauhan

TETAPLAH menjaga hubungan baik dan berhubung dengan ibu bapa walaupun mereka telah berpisah. Foto CANVA
TETAPLAH menjaga hubungan baik dan berhubung dengan ibu bapa walaupun mereka telah berpisah. Foto CANVA
A
A
A

KISAH penemuan jasad seorang warga emas yang sudah tinggal rangka di sebuah pangsapuri di Kepong minggu lalu begitu menyayat hati.

Allahyarham dikatakan rajin ke surau untuk solat berjemaah semasa hayatnya dan mengajar kanak-kanak mengaji.

Difahamkan mayat warga emas tersebut ditemui anaknya yang pergi ke kediaman tersebut untuk berjumpa.

Bagaimanapun, ayahnya yang mempunyai penyakit darah tinggi dan pernah kena strok itu ditemui sudah meninggal dunia dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Kes tersebut mendapat perhatian pendakwah, Ustaz Jafri Abu Bakar Al Mahmoodi dan beliau mengingatkan agar tidak membuat spekulasi terhadap kejadian itu.

BERITA mengenai penemuan rangka warga emas yang disiarkan Sinar Harian.
BERITA mengenai penemuan rangka warga emas yang disiarkan Sinar Harian.

“Kita tidak tahu situasi sebenarnya apa yang berlaku dalam keluarga mereka dan kita tidak boleh menghukum apa-apa mengenainya.

Artikel Berkaitan:

“Cuma mungkin kita boleh ambil pengajaran daripada apa yang berlaku,” pesannya dalam TikTok miliknya pada Rabu.

Menurutnya, anak-anak sepatutnya tidak mengabaikan ibu bapa yang tinggal berjauhan walaupun mereka telah bercerai dan tinggal secara berasingan.

“Walaupun ibu ayah telah berpisah, beliau tetap ayah kepada si anak dan perlu tetap berhubung.

“Walau kedaan buruk sekalipun, dia tetap ayah dan hubungan antara anak dan ayah perlu dijaga. Begitulah juga sebaliknya kerana hubungan itu tetap berkekalan sehingga hari kiamat,” pesannya.

Tambah Ustaz Jafri lagi, masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan memantau keadaan jiran-jiran sekeliling rumah.

USTAZ JAFRI
USTAZ JAFRI

“Dalam kisah ini, dia ada maklumkan yang dia berhajat untuk balik kampung. Oleh sebab itu jiran-jiran menjangkakan dia sudah balik kampung,” tambahnya.

Nasihatnya lagi, apa yang penting adalah anak-anak perlulah sentiasa berhubung dan mengambil tahu tahap kesihatan dan keadaan ibu bapa terutamanya bagi mereka yang tinggal berjauhan.

Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam artikel Irsyad Al-Hadis Siri ke-356: Tanggungjawab anak kepada ibu bapa menjelaskan, anak-anak bertanggungjawab terhadap ibu bapa semasa mereka masih hidup dan selepas mereka meninggal dunia.

Tanggungjawab anak semasa ibu bapa masih hidup:

1 - Berlaku baik kepada ibu bapa dan tidak meninggikan suara di hadapan mereka.

2 - Membantu mereka dari sudut kemampuan setakat yang mampu.

ZIARAHILAH ibu bapa dan ambil berat mengenai tahap kesihatan mereka terutamanya jika tinggal berjauhan. Foto CANVA
ZIARAHILAH ibu bapa dan ambil berat mengenai tahap kesihatan mereka terutamanya jika tinggal berjauhan. Foto CANVA

3 - Taat kepada ibu bapa dan tidak sesekali menderhakai mereka.

4 - Sentiasa berdoa kepada ibu bapa.

Tanggungjawab anak selepas kematian ibu bapa:

1 - Tunaikan hutang-hutang yang wajib kepada ALLAH SWT seperti puasa, haji, nazar dan sebagainya.

2 - Langsaikan hutang ibu bapa dengan orang lain.

3 - Sentiasa berdoa kepada ibu bapa.

4 - Menziarahi sahabat-sahabat ibu bapa.

5 - Bersedekah untuk ibu bapa.

6 - Tunaikan dan penuhi wasiat yang ditinggalkan ibu bapa.

"Kesimpulannya, ibu bapa merupakan anugerah yang istimewa buat setiap insan. Justeru, menjadi kewajipan setiap anak untuk menjaga kedua-dua ibu bapa mereka dan memberi khidmat yang terbaik.

"Ini kerana dosa orang yang menderhakai ibu bapa akan dipercepatkan oleh ALLAH SWT di dunia lagi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!