‘Afnan Hamimi cuba bina persepsi kerajaan kekang kebebasan’

Hantaran Muhammad Kamil di aplikasi X.
Hantaran Muhammad Kamil di aplikasi X.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden diminta menamakan secara jelas pihak yang didakwa mulutnya ditutup oleh Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, penjelasan itu perlu dibuat untuk keadilan semua pihak.

“Saya mohon saudara Afnan untuk nyatakan mulut siapakah yang ditutup oleh kerajaan hari ini. Bahkan presiden parti saudara sendiri (Tan Sri Abdul Hadi Awang) tanpa segan silu menggelar pimpinan kerajaan dengan pelbagai gelaran dan hinaan, tidak pernah lagi ditutup mulutnya.

“Kenyataan saudara tidak lebih sekadar cubaan untuk membina persepsi bahawa kerajaan hari ini mengekang kebebasan bersuara.

“Saudara juga harus faham bahawa kebebasan bersuara itu tidak termasuk kebebasan menghina, mencerca dan memfitnah,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X pada Khamis.

Terdahulu, Afnan Hamimi ketika berucap pada Muktamar Dewan Pemuda Pas di Temerloh sempena Muktamar Pas ke-70 dilapor mendakwa pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) cuba menutup mulut pembangkang.

Justeru, beliau memberi amaran kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengendahkan suara pengkritiknya atau berdepan risiko dijatuhkan melalui protes jalanan.

Ahli Parlimen Alor Setar itu turut membangkitkan isu disifatkan tindakan keterlaluan yang diambil kerajaan terhadap pihak yang mengkritik dasar-dasarnya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai contoh katanya, ada antara mereka yang ditahan serta alat komunikasi juga dirampas pihak berkuasa kerana bersuara.

Bukan persepsi, indeks kebebasan media jadi bukti - Afnan Hamimi

Dalam pada itu Afnan Hamimi menyangkal tuduhan Kamil yang mendakwanya sengaja membina persepsi kerajaan mengekang hak kebebasan bersuara.

Malah Ahli Parlimen Alor Setar itu menegaskan, kenyataannya dalam ucaptama sempena Muktamar Pemuda Pas itu berdasarkan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang diterbitkan Reporters Without Borders (RSF), baru-baru ini.

“(Kedudukan Malaysia) Menurun berbanding tahun lepas, daripada tangga ke-73 ke kedudukan 107. Indeks telah membuktikan begitu.

“Pempengaruh media sosial kita disiasat (selama) berjam-jam, banyak kes kalau nak buktikan. Saya fikir orang yang bercakap itu mungkin tiada TikTok, tidak tengok semua ini,” katanya ketika sidang akhbar selepas penangguhan Muktamar Pemuda Pas ke-65, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu Afnan Hamimi menegaskan, tindakan protes di jalanan bukan suatu perkara baharu, malah pernah dilakukan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika menjadi pembangkang.

“Dia kena lihat semula sejarah pemimpin PKR dahulu, waktu itu mungkin dia di bangku sekolah.

“Mereka (pemimpin PKR) yang ajak kami turun (jalanan),” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!