Tiga sekeluarga maut: Penganggur dipenjara 9 tahun cederakan anak saudara

Seorang penganggur yang dituduh membunuh ibu bapa serta anak saudaranya sebelum membakar kediaman mereka di Muar Ogos lepas, dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Sesyen Muar pada Khamis atas dakwaan berasingan menyebabkan kecederaan parah pada seorang lagi anak saudaranya. Foto Bernama
Seorang penganggur yang dituduh membunuh ibu bapa serta anak saudaranya sebelum membakar kediaman mereka di Muar Ogos lepas, dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Sesyen Muar pada Khamis atas dakwaan berasingan menyebabkan kecederaan parah pada seorang lagi anak saudaranya. Foto Bernama
A
A
A

MUAR - Seorang penganggur yang dituduh membunuh ibu bapa serta anak saudaranya sebelum membakar kediaman mereka di sini Ogos lepas, dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Sesyen Muar pada Khamis atas dakwaan berasingan menyebabkan kecederaan parah pada seorang lagi anak saudaranya.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu selepas Azman Mohamed Nor, 48, mengaku bersalah dan turut menetapkan denda RM5,000 dengan lima bulan penjara jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Azman didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap anak saudaranya berusia 14 tahun dengan menggunakan sebatang kayu di sebuah rumah bernombor di Jalan Sekolah Kampung Paya Redan, Muar antara pukul 1 hingga 3 pagi pada 9 Ogos lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun, dikenakan denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Arif Marzuki mencadangkan hukuman setimpal dikenakan atas faktor kecederaan parah dialami mangsa terutama pada bahagian kepala yang boleh membawa kematian manakala tangannya patah.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman diringankan kerana dia sudah menyesal, rasa bersalah dan insaf sepanjang penahanannya.

Mengikut fakta kes, ketika waktu kejadian, mangsa bersama adik tirinya Noradriana Nor Hasyim, 11, cuba mendapatkan bantuan tertuduh selepas bergegas keluar dari rumah berkenaan yang sedang terbakar, namun lelaki itu memukul mangsa di kepala sehingga rebah.

Tertuduh yang menyangka mangsa pengsan beredar dari tempat kejadian, namun mangsa lari ke rumah jiran dan dijaga seorang wanita sebelum menghantarnya ke Hospital Sultanah Fatimah bagi mendapatkan rawatan.

Artikel Berkaitan:

Ketika kembali ke tempat kejadian kemudian, Azman yang mendapati mangsa tiada, tergesa-gesa meninggalkan tempat itu dengan menaiki motosikal sebelum berjaya ditahan di tepi Jalan Sultan Ismail berhadapan Pasar raya Lot 10, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 1.13 pagi, 14 Ogos.

Hasil analisis pemeriksaan terhadap mangsa mendapati dia mengalami kecederaan luka laceration (luka yang terbelah) pada bahagian kepala sebelah kanan dan mendapat lapan jahitan manakala gambar X-ray menunjukkan satu tulang tangannya patah.

Pada 20 Ogos lepas, Azman didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, Ara Ab Hamit, 76, dan Noradriana, di rumah beralamat sama pada waktu yang sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun, dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah dihukum dengan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 24 Oktober ini untuk sebutan semula kes itu serta tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!