Datuk, nenek, cucu maut rumah terbakar
MUAR - Tiga sekeluarga maut apabila rumah didiami mereka musnah terbakar dalam kejadian di Jalan Sekolah, Kampung Paya Redan, Pagoh di sini awal pagi Jumaat.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, sepasang suami isteri warga emas dan cucu perempuan mereka maut manakala seorang lagi cucu cedera.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhlis Aziz berkata, mangsa yang maut di lokasi kejadian ialah Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abdul Hamid, 76.
“Seorang lagi kanak-kanak iaitu cucu kepada pasangan berkenaan, Noradriana Nor Hisyam, 11, dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
“Sementara itu, seorang lagi penghuni yang juga cucu mangsa, Norazima Mohd Radhi, 14, dilaporkan cedera di kepala dan masih dirawat di HPSF di sini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Menurut beliau, siasatan awal oleh pihak bomba mengesahkan kediaman berstruktur separuh batu dan kayu itu musnah sekitar 85 peratus.
“Seorang penduduk yang juga saksi awal kejadian memaklumkan melihat kebakaran ini sekitar jam 1.30 pagi. Bagaimanapun, punca kebakaran masih dalam siasatan.
“Kesemua mayat mangsa kini telah dihantar Unit Forensik HPSF untuk bedah siasat. Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.15 pagi,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fadli Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.25 pagi.
"Susulan itu seramai 21 anggota dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.
"Apabila sampai kebakaran itu melibatkan rumah jenis separuh kekal berkeluasan 3.7X5.5 meter terbakar 85 peratus," katanya.
Menurut beliau, kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
"Operasi tamat pada jam 4.24 pagi," katanya.