Malaysia mahu berbaik dengan semua negara - Anwar
LAHAD DATU - [DIKEMAS KINI] Sebagai sebuah negara merdeka dan bebas, Malaysia berhak menentukan apa yang terbaik untuk negara dan rakyatnya, termasuk dalam menjalin hubungan dengan negara-negara lain di seluruh dunia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Beliau meminta tidak ada pihak cuba menekan negara dalam menjalin hubungan diplomatik dengan negara-negara lain, sambil menegaskan bahawa Malaysia mahu berbaik dengan semua negara.
Perdana Menteri, yang baru pulang dari lawatan kerja ke Rusia baru-baru ini, juga berkata bahawa pertemuannya dengan Presiden Vladimir Putin bertujuan mengukuhkan hubungan baik antara Kuala Lumpur dan Moscow, selain mahukan Rusia meningkatkan import minyak sawit dari Malaysia.
"Saya jumpa dengan Presiden Putin dan orang tanya macam mana, Malaysia ini tak semena-mena nak berbaik dengan Rusia, apa kata Amerika, apa kata Eropah. Kita adalah negara bebas dan merdeka, kita putuskan apa terbaik untuk negara kita.
"Kita harus berbaik (dengan semua negara), tetapi jangan ada negara hendak tekan kita," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Segalanya Felda di sini pada Khamis.
Turut hadir Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Anwar berkata, negara-negara seperti India, China, Mesir dan Belanda merupakan antara pengimport besar minyak sawit negara ini, justeru beliau berusaha memastikan negara terlibat meningkatkan import komoditi tersebut.
"Sekarang kita minta Rusia, sebab itulah kita pergi dan berkawan dengan mereka, China setuju tambah import kelapa (minyak) sawit. Saya jumpa Perdana Menteri India (Narendra Modi) baru-baru ini... dia pun kata saudara Anwar kita akan meningkatkan import (minyak sawit) ke India," katanya.
Perdana Menteri berkata beliau mengunjungi negara-negara tersebut untuk meningkatkan perdagangan dan mempromosikan sektor pelancongan di Malaysia, termasuk di Sabah, Sarawak, Langkawi, dan Pulau Pinang, yang mempunyai keindahan alam semulajadi yang diiktiraf antara terindah di dunia.
Ini juga bertujuan menarik pelancong dari Rusia, kerana setakat ini hanya sekitar 100,000 pelancong Rusia datang ke Malaysia, berbanding antara 5 hingga 10 juta pelancong melawat Turkiye setiap tahun," kata Anwar.
Perdana Menteri juga berkata, beliau telah dijemput Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi untuk mengunjungi negara itu dan melihat kunjungan itu sebagai peluang untuk mengukuhkan hubungan baik antara kedua-dua negara, dan meminta supaya Mesir meningkatkan import minyak sawit Malaysia.
"Ini peluang saya minta dia beli kelapa (minyak) sawit lebih. Insya-ALLAH saya akan pergi dan akan sampaikan salam orang Lahad Datu serta Sabah kepada Presiden (El-Sisi). Saya akan beritahu penduduk di sini yang tanam kelapa sawit dan minta mereka beli lebih banyak nanti," katanya.
Anwar juga merancang untuk menceritakan kepada El-Sisi tentang keindahan Lahad Datu dan Sabah, yang merupakan destinasi pelancongan utama di timur Malaysia. - Bernama