Hakisan parit Masjid Ubudiah Bagan Nakhoda Omar makin lebar

Jemaah masjid menunjukkan keadaan hakisan yang berlaku di Masjid Ubudiah Kampung Simpang 4 Bagan Nakhoda Omar di sini pada Khamis.
Jemaah masjid menunjukkan keadaan hakisan yang berlaku di Masjid Ubudiah Kampung Simpang 4 Bagan Nakhoda Omar di sini pada Khamis.
A
A
A

SABAK BERNAM - Masjid Ubudiah Kampung Simpang 4 Bagan Nakhoda Omar di sini, diancam hakisan tebing parit serius sejak 11 tahun lalu.

Keadaan hakisan itu semakin teruk apabila tandas wanita dan dapur memasak di masjid itu dipisahkan lima meter sahaja dari tebing parit berkenaan.

Bilal masjid, Mohamad Ihsan Dollah berkata, masalah itu membimbangkan jemaah tentang soal keselamatan mereka berikutan hakisan sepanjang 300 meter di kiri dan kanan parit semakin melebar.

Mohamad Ihsan
Mohamad Ihsan

"Hakisan parit menyebabkan ruang tempat kami melapah lembu korban suatu ketika dahulu tenggelam dan sebatang pokok kelapa tumbang.

"Kami bimbang hakisan melarat ke tandas dan dapur memasak sekali gus mengundang risiko bahaya jika tidak diambil tindakan segera," katanya ketika ditemui pada Khamis.

Mohamad Ihsan berkata, masjid itu seolah-olah berada di pulau kerana dikelilingi air parit utama dari beberapa kampung.

"Air dari kampung terdekat akan mengalir ke parit utama di hadapan masjid ini sebelum dibuang ke Kunci Air Bagan Nakhoda Omar.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan bertambah teruk pada musim hujan dan fenomena air pasang besar yang menyebabkan hakisan bertambah serius," ujarnya.

Roslan
Roslan

Timbalan Nazir Masjid, Roslan Mohd Yusof berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak berwajib untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, katanya, pihak berwajib memaklumkan kos baik pulih tebing parit itu terlalu tinggi dan tidak mempunyai peruntukan mencukupi.

Justeru, katanya, jawatankuasa masjid yang bermesyuarat membuat ketetapan untuk mengumpul dana infak berjumlah RM100,000 bagi kerja-kerja baik pulih tebing parit berkenaan.

"Kita bercadang menyediakan kos bagi pembinaan benteng konkrit pada tebing parit bagi mengelakkan hakisan berterusan.

"Projek ini tentunya menelan kos besar, tetapi kita sedaya upaya mahu menyelesaikan isu ini segera," ujar beliau.

Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat menyalurkan sumbangan boleh terus menghubungi Roslan di talian (011-27815487) atau nazir masjid itu, Kamaruzzaman Samijo (019-6313094).

Sumbangan juga boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam di 12056010003447 atas nama Masjid Ubudiah Bagan Nakhoda Omar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!