Nabila Razali kongsi keterujaan, tiga kali terbang ke Taiwan
PENYANYI dan pelakon popular, Nabila Razali meluahkan keterujaan apabila diberi kepercayaan sebagai duta Salam Taiwan 2024.
Menyifatkan pelantikan itu sebagai antara pencapaian besar dalam karier seninya, Nabila merasa bersyukur atas penghormatan yang diberikan.
"Setakat ini sudah tiga kali saya dibawa ke Taiwan dan saya sangat kagum dengan pelbagai tarikan di sana, termasuk keindahan alam semula jadi, budaya, dan keramahan penduduk.
"Sebagai duta, saya bertanggungjawab untuk mempromosikan Taiwan sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim.
"Sepanjang berada di sana, saya berpendapat, Taiwan sangat sesuai untuk dijadikan destinasi pilihan percutian seisi keluarga kerana ia menawarkan pelbagai tarikan yang tersendiri," katanya.
Nabila berkata demikian ketika ditemui di MATTA Fair bertempat di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selain Nabila, turut hadir adalah Pengarah Pejabat Taiwan Tourism KL, Choi Shih Pi; Timbalan Wakil Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei Malaysia, James Bu; serta pempengaruh, Intan Serah dan Safwan Nazri.
Acara selama tiga hari itu berjaya menarik perhatian ramai yang berkunjung ke Pavilion Pelancongan Taiwan termasuk reruai Salam Taiwan.
Berkongsi pengalaman lain di Taiwan, selebriti berusia 31 tahun itu menyifatkan pengalaman penggambaran video Jom Taiwan sebagai sesuatu yang menakjubkan.
"Saya sangat kagum dengan keindahan Bitoujiao Trail untuk penggemar pendakian, Stesen Jingtong bagi mereka yang berminat dengan sejarah, dan tempat menenangkan fikiran di Sicao Green Tunnel.
"Saya harap dapat mengunjungi Taiwan bersama suami saya pula selepas ini," ujarnya lagi.