Wanita hamil maut diserang gajah liar di Indonesia

Seorang wanita hamil maut selepas diserang sekumpulan gajah liar di Pulau Sumatera, Indonesia. Gambar hiasan
Seorang wanita hamil maut selepas diserang sekumpulan gajah liar di Pulau Sumatera, Indonesia. Gambar hiasan
A
A
A

JAKARTA - Seorang wanita hamil maut selepas diserang sekumpulan gajah liar di Pulau Sumatera, Indonesia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Wanita itu dikenali sebagai Karsini, cuba melindungi ladang getah keluarganya daripada sekumpulan gajah di daerah Muara Lakitan di selatan Sumatera pada Ahad, kata Ketua Polis tempatan, Muhammad Karim.

"Mangsa cuba menakutkan kumpulan gajah itu dengan memukul dua tong untuk menghasilkan bunyi yang kuat, tetapi sebaliknya gajah-gajah itu menyerangnya hingga menyebabkan kematiannya," kata Karim.

Insiden itu berlaku di kawasan yang terkenal dengan populasi gajah liar, yang sering berkeliaran dalam kumpulan sehingga 100 ekor.

"Kes kematian jarang berlaku. Ini adalah kes paling buruk yang pernah kami saksikan,” kata Karim, sambil menasihatkan penduduk supaya mengelak pertembungan dengan gajah jika berdepan dengan mereka.

Susulan kejadian itu, pasukan dari Agensi Pemuliharaan Sumber Asli dihantar ke lokasi untuk menjalankan siasatan. - Bernama-dpa

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!