DUN Nenggiri kini miliki mesin ATM keempat
GUA MUSANG - Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie terus bekerja membela rakyat di kawasan itu dengan mewujudkan kemudahan mesin juruwang automatik (ATM) keempat di Jeram Tekoh di sini pada Sabtu.
Walaupun belum mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), beliau sudah mewujudkan kemudahan tersebut di tiga kawasan lain bagi membolehkan penduduk membuat pengeluaran wang tanpa perlu ke bandar Gua Musang.
Sebelum ini kemudahan itu sudah diwujudkan di Jerek Baru, Bertam dan Stesen Minyak Shell di Rantau Manis.
Sementara itu, Awie menerusi hantaran di laman sosial Facebooknya berkata ini merupakan mesin ATM keempat yang dihadirkan di bumi Nenggiri.
"Alhamdulillah, semoga perkara ini dapat memudahkan urusan perbankan warga di sana.
"Terima kasih ambo ucapkan kepada pihak Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk Mesin ATM tersebut," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, lebih 30,000 penduduk di DUN Nenggiri memerlukan kemudahan mesin ATM dan stesen minyak untuk kelangsungan hidup mereka.
Tinjauan Sinar Harian mendapati penduduk mendakwa mereka perlu ke bandar Gua Musang sejauh lebih 50 kilometer (km) dan memandu hampir 45 minit untuk ke mesin ATM berhampiran.
Malah ada yang perlu menaiki bot sejauh 30 minit kemudian menaiki kereta api selama sejam semata-mata untuk mendapatkan kemudahan mesin ATM.