Tak habiskan makanan, warga emas parah dibelasah adik
BEAUFORT - Hanya kerana tidak menghabiskan makanan, seorang warga emas dibelasah oleh adiknya sendiri sehingga mengalami kecederaan parah dalam kejadian di Kampung Melampai, Kuala Penyu, di sini, baru-baru ini.
Dalam kejadian itu, mangsa wanita berusia 79 tahun mengalami kecederaan patah tangan kiri dan lebam di kedua-dua belah mata akibat dipukul suspek lelaki berusia 42 tahun.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintenden Ismail Abdullah berkata, laporan polis dibuat oleh anak perempuan mangsa selepas mengetahui kejadian tersebut.
"Siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan salah faham antara suspek dan mangsa.
"Kejadian berlaku pada jam 11.39 pagi ketika mangsa sedang makan, namun tidak dapat menghabiskan makanannya.
"Suspek telah menegur mangsa sehingga berlaku pertengkaran mulut antara mereka dan menyebabkan suspek hilang pertimbangan lalu memukul mangsa dengan menampar mukanya beberapa kali serta memukul tangan mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Katanya lagi, suspek membelasah mangsa menggunakan tangannya dan menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital.
"Akibat kejadian itu kedua-dua mata mangsa lebam dan pada bahagian lengan kiri. Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Penyu untuk rawatan lanjut.
"Suspek yang ditahan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dalam siasatan mengaku telah menampar dan memukul kakaknya sehingga cedera," katanya.