UMNO, Pas bantah pelaksanaan semula PPSMI

Ismail Sabri (tengah) bersama kepimpinan Pas dan UMNO Jerlun memotong pulut kuning sebagai gimik pelancaran Muafakat Nasional Parlimen Jerlun di Wisma UMNO Jerlun hari ini.
Ismail Sabri (tengah) bersama kepimpinan Pas dan UMNO Jerlun memotong pulut kuning sebagai gimik pelancaran Muafakat Nasional Parlimen Jerlun di Wisma UMNO Jerlun hari ini.
A
A
A

JERLUN - UMNO dan Pas membantah pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) seperti diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sepatutnya kerajaan mengukuhkan terlebih dahulu penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar berbanding melaksanakan PPSMI.

Menurutnya, sekiranya mahu PPSMI dikembalikan dalam sistem pendidikan negara, kerajaan perlu menyediakan terlebih dahulu infrastruktur seperti guru terlatih dan peralatan pembelajaran sebelum melaksanakannya.

“Saya harap Dr Mahathir selaku pemangku Menteri Pendidikan kaji semula cadangan itu. Ketika PPSMI diperkenalkan di sekolah pada 2003 dan dimansuhkan secara berperingkat pada 2012, kajian menunjukkan prestasi pelajar merosot hingga 80 peratus,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Muafakat Nasional Parlimen Jerlun bersama Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin di Wisma UMNO Jerlun hari ini.

Ismail Sabri berkata, disebabkan itu adalah lebih baik memperkasakan bahasa Inggeris dengan mengukuhkan penguasaan bahasa itu dalam kalangan pelajar dan guru.

“Dr Mahathir mesti tahu penguasaan bahasa Inggeris lemah dalam kalangan pelajar luar bandar. Sebelum ini, guru pun tidak mampu menguasai dengan baik, macam mana nak mengajar. Malah ketika itu, RM4 bilion diperuntukkan untuk sediakan latihan dan peralatan kepada guru terlibat,” katanya.

Menurutnya, dibimbangi yang menjadi mangsa adalah pelajar sekali gus mengancam masa depan mereka yang gagal menguasai bahasa Inggeris.

“Bahasa Inggeris bukan bahasa pertuturan, ia bahasa komunikasi. Kenapa mahu PPSMI dikembalikan sedangkan bahasa itu bukan bahasa yang boleh memajukan sesuatu bangsa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hashim
Hashim

Sementara itu, Hashim juga menganggap PPSMI tidak relevan dilaksanakan dan mahu kerajaan mengekalkan dasar pendidikan sedia ada.

“Saya hairan kenapa Dr Mahathir nak sangat PPSMI, sedangkan kita ada bahasa kita sendiri. Negara maju seperti Korea dan Jepun yang maju dalam teknologi ciptaan pun tidak bergantung kepada bahasa Inggeris, adakah negara mundur jika guna bahasa Melayu?” katanya.

Menurutnya, sekiranya negara berkenaan maju tanpa meminggirkan bahasa kebangsaan mereka, Malaysia juga mampu melakukannya.

“Bahasa juga boleh menyatupadukan ummah. Sia-sia sahaja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memainkan peranan terjemahkan bahasa teknikal sains dan matematik kerana terbiar begitu saja,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Subjek Sains, Matematik kembali diajar dalam Bahasa Inggeris: PM

Tiada perbincangan laksana semula PPSMI: Nie Ching