Polis nafi sengaja pukul penunggang motosikal

Tular di laman sosial Facebook polis memukul penunggang motosikal sehingga cedera sejak malam tadi.
Tular di laman sosial Facebook polis memukul penunggang motosikal sehingga cedera sejak malam tadi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu menafikan sengaja memukul seorang penunggang motosikal sehingga cedera dalam kejadian di Kampung Atas Tol di sini seperti yang tular di laman sosial Facebook sejak malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos berkata, dalam kejadian itu, anggota polis terlibat terpaksa menggunakan kekerasan untuk menahan individu berkenaan selepas dia bertindak agresif.

Menurutnya, sebelum insiden berlaku, penunggang motosikal terbabit ditahan di lokasi selepas didapati melakukan kesalahan tidak memakai topi keledar.

"Bagaimanapun dia enggan memberi kerjasama untuk pemeriksaan selanjutnya selain cuba melarikan diri dan bertindak agresif.

"Jadi dalam situasi itu, anggota bertugas terpaksa menggunakan kaedah kekerasan dalam proses menangkapnya tetapi kami menafikan memukul mangsa di leher sehingga pengsan seperti yang ditularkan itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, video berdurasi kira-kira satu minit 32 saat menunjukkan seorang anggota polis lengkap beruniform dikepung penduduk kampung yang marah dengan tindakan anggota terbabit.

Mereka mempersoalkan tindakan anggota terbabit kerana penunggang motosikal tersebut bukannya melakukan jenayah curi, sebaliknya hanya tidak memakai topi keledar.

Anggota tersebut cuba menjelaskan yang lelaki itu cuba untuk melarikan diri, namun penjelasannya tidak diendahkan malah bertalu-talu soalan sama dilemparkan.

Artikel Berkaitan: