X

Kindly register in order to view this article
!

Hati-hati ada buaya di Danga Bay!

Kelibat buaya dilihat hampir dengan kawasan pesisir pantai Danga Bay yang tular di media sosial. Foto: Laman sosial Facebook
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor mengesahkan kewujudan buaya di sekitar Danga Bay di sini.

Pengarahnya, Salman Saaban bagaimanapun menggesa orang ramai berhati-hati dan tidak mengganggu sekiranya ternampak kelibat reptilia berkenaan di kawasan itu kerana habitat asalnya memang berhampiran dengan pesisiran pantai terbabit.

“Jabatan Perhilitan Johor memang mengetahui adanya kehadiran buaya di sekitar Danga Bay malah papan tanda amaran juga telah diletakkan di kawasan berkenaan untuk orang ramai berhati-hati.

“Kelibat buaya-buaya ini juga pernah tular di media sosial pada tahun lepas dan mengikut kajian dijalankan, buaya berkenaan berkeliaran sehingga ke Sungai Skudai,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Salman berkata, pihaknya juga berharap orang ramai khususnya penduduk setempat tidak panik kerana hidupan berkenaan tidak akan mengganggu atau menyerang manusia jika ia tidak diganggu atau diancam.

“Kita harap orang ramai tidak ganggu buaya ini sekiranya ternampak. Memang buaya ini berkeliaran di kawasan terbabit kerana kawasan sungai yang merupakan habitat asal mereka bersambung dengan kawasan itu,” katanya.

Semalam tular satu gambar di media sosial Facebook yang menunjukkan kelibat reptilia berkenaan berkeliaran di sekitar kawasan pantai berhampiran sebuah pangsapuri mewah di Danga Bay di sini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!