SJ
A
A

Hukum Guna Tisu Basah

Soalan: Mohon penerangan tentang hukum mengelap kotoran dengan tisu basah atau baby wipes. Ini kerana ramai dalam kalangan ibu yang menggunakannya ketika tukar pampers bayi terutama sewaktu bermusafir.

Jawapan:

Mengelap kotoran yang dalam kategori najis dengan baby wipes mesti dielakkan kerana ia tidak menepati syarat-syarat penyucian sesuatu dari najis.

Najis bayi (bukan mukhaffafah) termasuk dalam kategori najis mutawassitah yang mana syarat pembersihannya mestilah menghilangkan ain (objek) dan seluruh kesan-kesannya iaitu bau, warna dan rasa.

Syarat penyucian najis mutawassitah jika melibatkan air yang sedikit mestilah air itu bersifat mendatang (curah) kepada najis tidak kira dari arah mana sekalipun. Ini bermakna benda yang bernajis tidak boleh direndam ke dalam air yang sedikit, maka proses penyucian tidak sah.

Perkara ini disebut di dalam kitab-kitab fiqh, antaranya, ‘Taqrirat Sadidah’: “Air itu hendaklah mendatangi bukan ia didatangi, iaitu air mendatangi ke atas najis bukan sebaliknya.”

Syarat lain yang mesti dipenuhi untuk menyucikan sesuatu benda dari najis mutawassitah adalah air itu mestilah bersifat mengalir sepertimana disebut di dalam kitab ‘al-Yaqut al-Nafis’: “Dengan mengalirnya air ke atas sesuatu yang ternajis dengannya (najasah).”

Satu lagi syarat yang wajib dipenuhi menurut mazhab Syafi’ie adalah membersihkan sesuatu dari najis dengan air mutlak (air paip dan seumpamanya). Tidak boleh menggunakan air yang bercampur dengan bahan-bahan lain seperti sabun, clorox dan seumpamanya.

Perkara ini disebut di dalam kitab ‘Matan Abi Syuja’’: “Jenis air yang suci tetapi tidak menyucikan iaitu air mustakmal dan air yang berubah sifatnya dengan bercampur dengan bahan-bahan yang suci.”

Berbalik kepada isu baby wipes, jelas ia tidak menepati syarat-syarat tersebut. Ini kerana meskipun tisu itu basah tetapi sifat air itu tidak mengalir ke atas benda yang bernajis, malah tisu itu hanya sekadar basah. Jika diperah sekalipun ia tidak mengalirkan air.

Syarat lain yang tidak ditepati oleh baby wipes ialah air yang digunakan bukan terdiri dari air mutlak. Ini kerana basahan tisu itu terdiri dari cecair yang bercampur dengan bahan kimia dan bukannya tulus air mutlak.

Cadangan: boleh menggunakan baby wipes untuk membersihkan sesuatu yang bernajis seperti kemaluan bayi, tetapi setelah itu wajib dibilas dengan air mutlak yang mengalir ke atas sesuatu anggota atau benda. Jika proses tersebut hanya bergantung kepada baby wipes sahaja dan tidak diiringi dengan bilasan, maka proses

penyucian tersebut dikira tidak sah dan bayi itu terus dalam keadaan menanggung najis. Walau bagaimanapun, seorang bayi masih belum dipertanggungjawabkan (taklif) ke atasnya hukum-hakam ibadah.

Meskipun bayi itu tidak dibersihkan kemaluan dengan proses yang sah menurut syarak, namun dia tidak dikira satu kewajipan kerana tidak terikat dengan ibadah-ibadah yang memerlukan taharah.

Oleh itu, bayi yang dibersihkan dengan baby wipes hukumnya harus, tetapi jika seseorang yang ingin mengerjakan solat sambil mendukung bayi tersebut akan menyebabkan solatnya tidak sah kerana dia dikira menanggung sesuatu yang masih menanggung najis. Namun, jika melibatkan golongan dewasa maka wajib kemaluan itu dibasuh dengan air mutlak sebelum mengerjakan ibadah yang memerlukan taharah.

Sebagai maklumat tambahan, maksud air mengalir adalah air yang diletakkan atas sesuatu benda atau anggota, kemudian ia mampu mengalir. Sebagai contoh air di’spray’ ke atas sesuatu benda atau anggota sehingga ia nampak mengalir di atasnya. Perkara ini ada dinyatakan oleh Imam Nawawi berkenaan maksud air yang mengalir di dalam ‘al-Majmu’’.

Solat, Bayi Dan Lampin

Soalan: Kadang-kadang bila saya solat, tiba-tiba anak saya umur setahun bergayut di kaki saya. Anak saya pakai pampers yang berkemungkinan menanggung najis. Adakah solat saya sebegini dikira batal atau bagaimana?

Jawapan:

Asasnya, apabila seseorang mengerjakan solat dalam keadaan menanggung najis atau benda yang bernajis maka solatnya terbatal, perkara ini dinyatakan oleh Imam Nawawi rahimahullah di dalam ‘Minhaj al-Talibin’:

“Tidak sah solat seseorang yang mana sebahagian pakaiannya menyentuh najis, walaupun najis itu tidak bergerak bersama gerakannya (orang yang solat).

Tidaklah seseorang itu memegang sesuatu sudut berada di atas najis jika ia bergerak, begitu juga sesuatu yang tidak bergerak menurut pendapat yang paling sahih.”

Berbalik kepada masalah di atas, jika mendukung anak atau itu bergayut di kaki ketika sedang solat, ia merujuk kepada beberapa situasi:

• Jika keadaan itu tiada bukti atau tanda yang menunjukkan anak itu ada najis di dalam lampinnya seperti bau atau warna najis, maka tidak dikira menanggung najis dan solat masih dikira sah.

• Jika ada tanda atau petunjuk yang jelas bahawa dalam lampin ada najis, maka dikira

menanggung najis. Namun begitu, jika didapati anak menanggung najis ketika solat, maka wajib bertindak secepat mungkin untuk menjauhkan diri dari anak dengan meletak anak itu di sisi dengan cara yang cermat dan selamat.

Jika tidak bertindak secepat mungkin iaitu membiarkan diri menanggung sesuatu yang bernajis, maka solat dikira batal.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia