Pemilihan Bersatu: 9,452 calon layak bertanding

Syed Hamid menandatangani borang pencalonan yang akan diserahkan kepada Bersatu negeri.
Syed Hamid menandatangani borang pencalonan yang akan diserahkan kepada Bersatu negeri.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tan Sri Syed Hamid Albar mengumumkan sebanyak 11,100 borang pencalonan telah diterima bagi merebut 7,371 jawatan di 189 bahagian.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 9,452 pencalonan layak bertanding bagi jawatan-jawatan dipertandingkan setelah disaring.

Katanya, mengikut pecahan, 4,631 calon bertanding bagi jawatan utama di peringkat bahagian, 2,581 calon Srikandi bahagian dan 2,240 bagi Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) bahagian.

"Selain itu, 39 calon ketua bahagian telah menang tanpa bertanding antaranya Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun) dan Syed Saddiq Syed Abd Rahman (Muar).

"45 calon ketua Srikandi bahagian dan 63 calon ketua Armada bahagian juga menang tanpa bertanding," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Bersatu di sini hari ini.

Syed Hamid berkata, Setiausaha Agung, Marzuki Yahya juga disahkan menang bagi jawatan Ketua Bahagian Bagan, manakala Ketua Penerangan Bersatu, Dr Radzi Jidin pula mempertahankan bahagian Ketereh.

Selain itu, mereka yang menang tanpa bertanding ialah Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Hajiji Noor (Tuaran); Pengerusi Bersatu Perak, Ahmad Faizal Azumu (Tambun); Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya (Batu) dan Pengerusi Bersatu Terengganu, Razali Idris (Marang).

Syed Hamid turut menjelaskan sebarang bantahan dikemukakan bermula esok sehingga 14 Februari nanti selepas senarai calon diserahkan kepada jawatankuasa pemilihan Bersatu negeri.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jika bantahan tersebut diterima, nama calon berkenaan akan digugurkan namun nombor calon lain kekal seperti dalam borang pencalonan.

"Bermula 15 Februari sehingga 29 Mac 2020, peringkat cawangan Bersatu akan memilih pemimpin cawangan dan bahagian. Bagi pemimpin cawangan, pengundian dijalankan dengan mengangkat tangan manakala bagi peringkat bahagian akan diberikan kertas undi.

"Kesemua 363,167 ahli di 2,950 cawangan layak menghadiri persidangan cawangan-cawangan. Kesemua keputusan dijangka diperoleh pada bulan April," katanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai status Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah yang digantung keahlian parti, Syed Hamid menjelaskan Adhif Syan tidak layak untuk bertanding.

"Ahli yang digantung tidak boleh bertanding," katanya.

Adhif Shan digantung serta-merta daripada jawatannya sebagai Ketua Armada Selangor sehingga siasatan polis terhadapnya mengenai satu serbuan di Puchong selesai.

Tindakan sama turut diambil ke atas Penolong Setiausaha badan itu, Ahmad Redzuan Mohamad Shafi.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] ADUN Dengkil tak hantar borang pencalonan pemilihan bahagian