71 calon wanita bertanding PRN

Dari kiri: H. Vikneswary (Muda), Sharifah Haslizah Syed Ariffin (Pas), Rina Harun (Bersatu) dan Zuraida Md Noor (Pas) antara calon wanita yang bertanding dalam PRN kali ini. - Foto Bernama
Dari kiri: H. Vikneswary (Muda), Sharifah Haslizah Syed Ariffin (Pas), Rina Harun (Bersatu) dan Zuraida Md Noor (Pas) antara calon wanita yang bertanding dalam PRN kali ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 71 calon wanita disahkan layak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kali ini yang menyaksikan sebanyak 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan.

Pakatan Harapan (PH) meletakkan 26 calon wanita daripada 138 calon parti itu manakala Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan 12 calon wanita daripada 108 calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Gabungan parti dalam Perikatan Nasional (PN) pula meletakkan 19 calon wanita daripada 245 calon, sementara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang membuat keputusan bergerak sendiri pada PRN kali ini mengetengahkan 10 calon wanita daripada 19 calonnya.

Parti Rakyat Malaysia (PRM) turut mempertaruhkan dua calon wanita manakala Parti Sosialis Malaysia (seorang) dan Bebas (seorang).

Calon wanita bagi PRN kali ini juga terdiri daripada pelbagai latar belakang serta memegang jawatan penting dalam parti masing-masing.

Melanie Ting Yi-Hlin, 23, iaitu calon wanita termuda pada PRN kali ini merupakan Ketua Turus Penerangan Muda dipertaruhkan Muda untuk bertanding di DUN Bukit Antarabangsa.

Turut mencuri tumpuan ialah bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang bertanding di kerusi DUN Batu Tiga, ditentang calon Muda, Saiyidah Izzati Nur Razak Maideen dan Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid (PH-Amanah).

SPR menetapkan PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah serta PRK Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak dengan hari pengundian pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos. - Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!