Agong berangkat ke majlis kesyukuran sempena setahun

Yang di-Pertuan Agong berkenan bersalaman dengan sebahagian pelajar tahfiz yang hadir pada majlis membaca Surah Yasin serta kesyukuran sempena setahun menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini. -Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong berkenan bersalaman dengan sebahagian pelajar tahfiz yang hadir pada majlis membaca Surah Yasin serta kesyukuran sempena setahun menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Kesyukuran Sempena Setahun Mengangkat Sumpah Sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, esok.

Pada majlis yang diadakan di surau Istana Negara itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan membaca surah Yasin bersama 300 jemaah yang terdiri daripada pegawai kanan dan warga Istana Negara serta pelajar tahfiz daripada Maahad Tahfiz Darus Syabab.

Seri Paduka berdua dan jemaah kemudian bersama-sama menunaikan solat maghrib dan solat hajat yang dipimpin oleh Imam surau Istana Negara Ustaz Zulkifli Salleh.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudian turut berkenan mendengar tazkirah daripada Imam Masjid Kampung Pantai Dalam Ustaz Mohd Shahril Abd Samat mengenai kepimpinan dalam Islam, sebelum menunaikan solat isyak yang diimamkan oleh Ustaz Ainuddin Razi daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Baginda berdua kemudian berkenan menyertai tetamu ke majlis santapan.

Majlis kesyukuran itu turut dihadiri anakanda pasangan diraja itu, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah.

Al-Sultan Abdullah melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019, selepas dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara pada 24 Januari 2019.

Al-Sultan Abdullah memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun bermula tarikh melafaz sumpah.- Bernama

Artikel Berkaitan: