X

Kindly register in order to view this article
!

Genting hangatkan kerancakan LTdL 2020

Syed Saddiq (tengah) menyaksikan penyampaian replika cek penajaan daripada Kay Atisha kepada Ketua Pegawai Operasi Human Voyage, Shahizereen A Hamid pada Majlis Penajaan Utama LTdL 2020. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A

GENTING Malaysia Berhad muncul sebagai penaja utama perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 membabitkan tajaan wang tunai dan barangan berjumlah RM5 juta.

Perkara itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang turut memuji komitmen Genting Malaysia Berhad terhadap penganjuran sukan berbasikal berprestij di rantau Asia itu sejak 1996.

"Kehadiran Resorts World Genting sebagai salah satu venue pada LTdL tahun lalu meningkatkan lagi reputasi perlumbaan. Sepanjang laluan mendaki menuju ke puncak Genting, ramai penonton dan peminat sukan akan berbaris di sepanjang jalan memberi sokongan kepada pelumba pelumba, sekali gus mewujudkan suasana perlumbaan yang menakjubkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pengumuman tajaan tersebut di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya petang tadi.

Syed Saddiq memberitahu, Genting Malaysia Berhad turut memberi sumbangan bermakna apabila menjadi penaja utama bagi perlumbaan Kriterium Antarabangsa Malaysia 2020 yang akan berlangsung di Kota Kinabalu pada 6 Februari ini.

Bersempena sambutan Jubli Perak tahun ini, perlumbaan edisi sulung kriterium itu akan berlangsung di tengah bandar Kota Kinabalu merangkumi jarak

10 kilometer (km) bagi setiap pusingan dengan jarak keseluruhan sejauh 90km.

Perlumbaan itu merupakan prelud sebelum bermulanya Peringkat 1 LTdL 2020 yang bakal berlangsung di Kuching, Sarawak pada 7 Februari.

Sementara itu, Naib Presiden Perhubungan Korporat & Komunikasi Genting Malaysia Berhad, Datuk Seri Kay Atisha Parasuraman berkata, pihaknya berbangga menjadi rakan kongsi jangka panjang perlumbaan berprestij LTdL yang kini berstatus ProSeries.

“Sebagai sebuah organisasi bertaraf dunia dengan operasi di serata dunia, Genting Malaysia Berhad berbangga untuk terlibat sama dengan acara ini. Kami komited untuk memastikan perlumbaan ini berjalan dengan jayanya terutama ketika menjadi hos bagi queen stage.

“Kami amat menantikan Peringkat 4 pada 10 Februari ini dan berharap orang ramai akan datang beramai-ramai ke Resorts World Genting untuk memeriahkan suasana perlumbaan.

"Selain menjadi hos bagi lokasi penamat, kami berharap para pelumba, penonton dan tetamu meluangkan masa untuk melihat dan menikmati kemudahan dan tarikan yang kami tawarkan," ujarnya.

Pendakian ke puncak Genting Highlands cukup dinantikan kerana bakal menghimpunkan bukan sahaja peminat berbasikal, malah juga bakal menobatkan 'Raja Bukit' LTdL.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus