Majlis Santapan Tengah Hari Diraja inisiatif Al-Sultan Abdullah

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bergambar bersama dengan pegawai-pegawai kanan kerajaan pada majlis santapan tengah hari bersama pegawai kanan kerajaan di Istana Negara hari ini.
- Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bergambar bersama dengan pegawai-pegawai kanan kerajaan pada majlis santapan tengah hari bersama pegawai kanan kerajaan di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Santapan Tengah Hari Diraja bersama pegawai-pegawai kanan kerajaan diadakan atas inisiatif Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menyantuni mereka serta bertukar pandangan mengenai isu semasa.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, majlis diadakan julung kali itu melibatkan kumpulan pertama pegawai kanan dari tiga jabatan dan agensi kerajaan iaitu Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan.

“Majlis ini akan dianjurkan setiap bulan untuk memberi ruang kepada Seri Paduka Baginda menyantuni kesemua pegawai kanan jabatan dan agensi kerajaan dan lebih penting, untuk Al-Sultan Abdullah bertukar pendapat dan pandangan berkenaan isu-isu semasa melibatkan jabatan dan agensi kerajaan yang berkenaan,” katanya.

Menurut Ahmad Fadil, pegawai kanan daripada jabatan dan agensi kerajaan yang lain akan dijemput ke sesi bulanan berikutnya.

Melalui majlis itu juga, Al-Sultan Abdullah berpeluang memberi panduan dan nasihat bagi membantu serta memperkasakan lagi sistem penyampaian kerajaan dan khidmat awam untuk kesejahteraan rakyat, termasuk pelaksanaan program nasional seperti Tahun Melawat Malaysia 2020 dan Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November, apabila Malaysia menjadi tuan rumah.

Terdahulu, Seri Paduka berkenan berangkat ke majlis santapan itu yang diadakan di Istana Negara di sini.

Antara yang hadir ialah Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali; Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.

Barisan timbalan ketua setiausaha dan timbalan ketua pengarah di Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan turut hadir pada majlis itu.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka menzahirkan ucapan tahniah kepada Mohd Zuki atas pelantikan sebagai Ketua Setiausaha Negara yang baharu berkuat kuasa 1 Januari lepas.

Berikutan genap satu tahun majlis angkat sumpah esok selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16, Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan atas kerjasama baik yang diberikan oleh agensi kerajaan dan pegawai perkhidmatan awam bagi menjalankan majlis rasmi kerajaan dan menyelaraskan segala dasar kerajaan bagi kesejahteraan rakyat.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua dari kanan) berkenan bertitah pada majlis santapan tengah hari bersama para Pegawai Kanan Kerajaan di Istana Negara, hari ini. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua dari kanan) berkenan bertitah pada majlis santapan tengah hari bersama para Pegawai Kanan Kerajaan di Istana Negara, hari ini. - Foto Bernama

Seri Paduka turut menzahirkan untuk tahun 2020 ini, sejumlah sembilan majlis dan 19 acara rasmi akan melibatkan keberangkatan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong di samping lawatan-lawatan negara.

Beliau berkata, Seri Paduka turut mengambil maklum perjawatan semasa perkhidmatan awam seramai 1.7 juta orang dengan pengisian 91 peratus bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan dan Negeri, Badan Berkanun serta pihak berkuasa tempatan.

Pada 22 Januari lepas, Al-Sultan Abdullah atas inisiatif baginda turut berkenan mengadakan perjumpaan sesi pertama dengan perwakilan asing melalui Majlis Santapan Tengah Hari Diraja yang dianjurkan secara bulanan bersama Duta-Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi Asing ke Malaysia di Istana Negara.

Selain merapatkan silaturahim, majlis itu juga memberi ruang kepada Seri Paduka untuk bertukar pandangan berhubung isu semasa bersama duta-duta dan pesuruhjaya tinggi asing yang bertugas di negara ini untuk mempertingkatkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan negara-negara berkenaan demi kepentingan bersama.

Ahmad Fadil berkata, kedua-dua inisiatif oleh Seri Paduka itu mencerminkan keperibadian, keprihatinan dan usaha murni baginda terhadap kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan negara.

Terdahulu, sebelum majlis santapan hari ini berlangsung, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Keong.

Menurut Ahmad Fadil, Seri Paduka telah menzahirkan kebimbangan baginda berikutan pengesanan lapan kes jangkitan 2019 novel koronavirus di Malaysia sehingga hari ini yang melibatkan warga China.

Katanya, Al-Sultan Abdullah turut bertitah kepada Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa untuk memantapkan lagi aktiviti pemantauan, pengesanan dan penyaringan penumpang antarabangsa di lapangan terbang untuk mencegah penularan kes koronavirus di negara ini.

"Seri Paduka turut menyeru rakyat untuk mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air sabun atau bahan pencuci tangan serta sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung," katanya. - Bernama