KKMM laksana usaha terbaik salur maklumat sahih: Gobind

Gobind Singh Deo memberi penerangan kepada peniaga serta mengedarkan risalah mengenai pencegahan jangkitan koronavirus pada Program 'Info On Wheels' di Astaka Lorong Kulit hari ini. -Foto Bernama
Gobind Singh Deo memberi penerangan kepada peniaga serta mengedarkan risalah mengenai pencegahan jangkitan koronavirus pada Program 'Info On Wheels' di Astaka Lorong Kulit hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) telah melaksanakan yang terbaik dalam menyalurkan maklumat sahih berhubung sesuatu isu kepada orang ramai, kata menterinya, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh agensi-agensi di bawah kementerian itu dalam menyampaikan maklumat sebenar kepada masyarakat bagi menangani penularan berita palsu apabila timbulnya sesuatu isu.

"Kita sentiasa menyalurkan maklumat yang betul kepada rakyat dan kalau kita lihat KKMM melalui Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan telah pun secara aktif mengeluarkan kenyataan-kenyataan, video-video dan infografik.

"Kita juga telah turun padang untuk menjelaskan kepada masyarakat apakah sebenarnya masalah dan bagaimana kita mengambil langkah-langkah untuk mengatasinya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program 'Info On Wheels' mengenai jangkitan koronavirus di Pasar Penjaja Rope Walk dan Astaka, Lorong Kulit di sini hari ini.

Dalam usaha menangkis penyebaran berita palsu, Gobind berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut mengambil langkah proaktif dengan menyediakan satu portal iaitu sebenarnya.my bagi membolehkan orang ramai melayari laman web itu untuk mendapatkan maklumat tepat berhubung sesuatu perkara tidak benar yang disebarkan menerusi sosial media.

Gobind turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak media yang telah banyak membantu kementerian dalam menyampaikan maklumat sahih kepada orang ramai.

Mengulas lanjut, katanya, sejak 25 Januari hingga semalam, Bernama telah mengeluarkan 149 berita berhubung jangkitan koronavirus manakala RTM sebanyak 137 berita dan Jabatan Penerangan pula mengadakan 180 program serta hebahan di media sosial.

"Bernama telah mengeluarkan 149 berita berkenaan jangkitan penyakit ini termasuk 42 berita melalui televisyen, 30 infografik dan enam video dalam semua bahasa manakala RTM menayangkan 137 berita dan rancangan bual bicara, 10 infografik berkenaannya dan 42 video serta Jabatan Penerangan seluruh Malaysia mengadakan 180 program serta hebahan di media sosial dalam usaha membantu masyarakat memahami mengenai gejala ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, semua maklumat itu dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat sekali gus menangkis berita-berita palsu yang boleh menimbulkan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati menyebarkan maklumat menerusi apa-apa medium sekalipun terutamanya media sosial dan sekiranya seseorang individu dengan sengaja menyebarkan maklumat atau berita yang mempunyai kandungan palsu terutamanya membabitkan jangkitan koronovirus ketika ini, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ketika ditanya sama ada terdapat keperluan Akta Antiberita Tidak Benar dibincangkan semula dalam kabinet dan menggunakannya semula, Gobind berkata pada masa ini akta berkenaan telah dimansuhkan tetapi kerajaan masih ada undang-undang sedia ada untuk mengekang perkara itu.

"Akta anti berita tidak benar sudah dimansuhkan, tetapi pada masa ini kita masih ada undang-undang yang boleh dikuatkuasakan untuk menangani masalah ini, jadi soal itu tidak berbangkit buat masa sekarang kerana ada undang-undang sedia ada yang boleh kita ambil tindakan dalam kes tertentu," katanya. - Bernama