Bot terbalik: Seorang wanita lemas, tiga lagi masih hilang
KEMAMAN - Seorang wanita ditemukan lemas manakala tiga lagi hilang selepas bot yang dinaiki bersama lima lagi individu terbalik dan karam dalam kejadian di perairan Kemaman di sini pada pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kejadian sekitar jam 6.30 pagi itu berlaku pada jarak tujuh batu nautika atau 13 kilometer (km) dari kawasan perairan Kuala Kemaman.
Menurutnya, bot tersebut dikatakan membawa sembilan penumpang termasuk tekong, kru dan pelancong berusia lingkungan 23 hingga 79 tahun untuk memancing.
"Penumpang bot terdiri daripada lima lelaki dan empat perempuan berasal dari Raub, Pahang dan Gombak, Selangor.
"Setakat ini, mangsa yang meninggal dunia merupakan seorang wanita, manakala dua lelaki dan seorang wanita masih hilang.
"Lima penumpang bot yang lain iaitu tiga lelaki dan dua perempuan terselamat," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Menurut Hanyan, pihaknya masih mengenal pasti identiti mangsa terlibat dan operasi mencari sedang giat dijalankan.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang hilang kini giat dijalankan," katanya.