Tempoh perjalanan warga China tidak dilanjutkan: TPM

Dr Wan Azizah bersama Dr Dzulkefly (kiri) dan Dr Boon Chye pada sidang media di sini.
Dr Wan Azizah bersama Dr Dzulkefly (kiri) dan Dr Boon Chye pada sidang media di sini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan tidak berhasrat untuk melanjutkan tempoh perjalanan warga China yang berada di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, hanya pelancong yang mempunyai simptom dan disahkan positif koronavirus sahaja dibenar berada di negara ini untuk mendapatkan rawatan sebelum dihantar pulang.

"Tak ada lanjutan lawatan," katanya.

Menurutnya, perkara itu selaras dengan arahan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Bukan sahaja koronavirus tetapi sesiapa sahaja yang sakit kita perlu merawatnya sebelum dihantar pulang," katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meninjau pengurusan dan penyelarasan maklumat serta respon bagi koronavirus.

Turut hadir, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalannya, Lee Boon Chye serta Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah.

Bermula 1 Januari lalu, kerajaan mewartakan pengecualian visa kepada rakyat China dan India mengikut Subseksyen 2(1) Akta pasport 1966.

Pelancong dari negara terbabit perlu membuat pendaftaran terlebih dahulu dan melakukan perjalanan dalam tempoh tiga bulan selepas mendaftar.

Artikel Berkaitan:

Tempoh masa lawatan yang dibenarkan terhad kepada 15 hari sahaja dan tidak boleh dilanjutkan.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata, tiada halangan bagi mana-mana pihak untuk berhimpun terutamanya menjelang Thaipusam minggu hadapan.

"Setakat ini, tiada apa-apa masalah, malah WHO belum mengeluarkan arahan halangan perjalanan.

"Bagaimanapun kerajaan akan maklumkan situasi semasa dan perkembangan kepada rakyat," katanya.

Setakat jam 2 petang, individu positif koronavirus kekal tujuh kes.