Kisah Haji Manos, Suren dan Mr Ong

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KALI ini Merak Jalanan mahu berkongsi satu kisah menarik di tempat kerja.

Kisah Haji Manos, kontraktor pembersihan dan penyelenggaraan di pejabat Merak Jalanan yang sudah berbelas tahun menabur khidmatnya.

Beliau ialah perantau dari seberang yang datang ke Malaysia untuk mencari rezeki. Ditakdirkan rezeki Haji Manos bertambah apabila 'big boss' Merak Jalanan guna perkhidmatannya.

Haji Manos seorang yang merendah diri, peramah dan jenis tidak berkira. Sebab itulah beliau disenangi ramai.

Suren pula ialah kontraktor untuk kerja-kerja pendawaian dan elektrik. Beliau mewarisi perniagaan daripada bapanya, Kumar yang terlebih dahulu memberikan khidmat cemerlang kepada pengurusan tempat kerja Merak Jalanan.

Sifat Suren juga seperti bapanya: rajin, komited dan bertanggungjawab.Apa sahaja permintaan atau kerja yang diminta oleh pengurusan pentadbiran syarikat, pastinya Suren dan pekerjanya memberikan yang terbaik.

Suren juga suka bertegur sapa dengan staf-staf di pejabat Merak Jalanan. Tak kiralah staf bawahan mahupun barisan bos, semuanya disantuni dengan hormat. Kami juga hormat pada Suren.

Mr Ong atau nama penuhnya Ong Boon Teck adalah antara pekerja Tionghua paling lama berkhidmat di syarikat Merak Jalanan. Bermula dari bawah sehingga sekarang dilantik sebagai orang penting dalam jabatan, lelaki tinggi lampai ini masih bersikap merendah diri.

Artikel Berkaitan:

Fasih berbahasa Melayu dan bercakap loghat Kelantan, ternyata anak kelahiran Kota Bharu ini ‘talak sombong punya olang’.

Mr Ong sudah berkhidmat lebih 30 tahun dalam syarikat Merak Jalanan yang 95 peratus merupakan pekerja Bumiputera dan sehingga kini beliau gembira serta mahu bersara di syarikat itu.

Kisah Haji Manos, Suren dan Mr Ong adalah sebahagian gambaran kecil bagaimana kita boleh bersatu padu dan mencari rezeki dengan harmoni di Malaysia.