Nasi Lemak Kampung Baru Mentakab tarik kaum Cina

A
A
A

TEMERLOH - Kedai Nasi Lemak Kampung Baru Mentakab di sini bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk Melayu tetapi turut diminati kaum Cina sejak 20 tahun lalu.

Situasi itu diakui pengusahanya, Rismayanti Ismail, 47, yang terpaksa menjawab persoalan ramai pelanggannya yang menganggap kedai makannya itu diusahakan peniaga bukan Melayu.

Katanya, ada pelanggan salah faham sebaik sahaja tiba di kedai makan itu kerana melihat ramai pelanggan Cina sedang menjamu selera.

Menurutnya, ada juga yang membuat tanggapan pekerja Melayu di kedai nasi lemak itu diupah pemilik bukan Melayu.

“Bagaimanapun, mereka kini sudah faham selepas saya sendiri menjelaskannya. Saya gembira kerana mereka kini boleh duduk semeja menikmati hidangan nasi lemak dalam suasana harmoni,” katanya kepada Sinar Harian.

Rismayanti berkata, ketika sambutan Tahun Baru Cina, pelanggan Tionghua meminta dia terus beroperasi kerana kedai makannya menjadi tempat pertemuan dan menjamu selera bersama keluarga dan rakan-rakan.

Lebih menarik, kedai makan itu turut dihiasi dengan tanglung sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan kaum Cina.

Katanya, dia memilih nasi lemak sebagai menu utama dengan pelbagai variasi lauk tambahan bagi membolehkan pelbagai kaum membuat pilihan.

Artikel Berkaitan:

Rismayanti menunjukkan nasi lemak yang menjadi tumpuan pelanggannya.
Rismayanti menunjukkan nasi lemak yang menjadi tumpuan pelanggannya.

“Kami ada ayam goreng, rendang ayam, begedil, sambal sotong, telur mata kerbau pada harga antara RM1.50 hingga RM4. Menu lain juga ada seperti nasi ayam dan bihun goreng.

“Harga pun saya cuba bertahan sejak mula beroperasi dan hanya naik 50 sen sepanjang tempoh itu menjadikan pelanggan tetap setia menjamu menu nasi lemak kegemaran mereka,” katanya.

Menurutnya, dia gembira kerana kedai tersebut menjadi tumpuan pelbagai kaum sekali gus dapat menjalinkan hubungan baik dengan mereka.

“Ada pelanggan saya yang terdiri daripada tiga generasi yang masih menikmati hidangan nasi lemak,” ujarnya.

Sementara itu, warga emas, Lee Lun Eng, 67, menjadi pelanggan tetap kedai makan itu kerana selesa dengan layanan yang diberikan selain keenakan nasi lemak di kedai tersebut.

“Harga tidak mahal malah semua cucu saya akan minta belikan nasi ini apabila pulang ke kampung,” katanya.

Lee Lun Eng
Lee Lun Eng

Seorang lagi pelanggan, Ching Soa, 65, mengakui telah menjadi pelanggan di kedai makan Rismayanti sejak lebih 10 tahun lalu.

“Saya selesa makan di sini dan bertemu rakan-rakan. Makanan pun menepati selera saya,” katanya.

Ching Soa
Ching Soa

Kedai tersebut beroperasi setiap hari bermula pada jam 6.30 pagi hingga 11 malam dengan 12 pekerja dan tutup pada Jumaat.