Human Voyage pantau rapi LTdL 2020

Shahaizereen
Shahaizereen
A
A
A
PENGANJUR Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, Human Voyage akan memastikan langkah keselamatan paling ketat diambil khususnya melibatkan ketibaan pasukan, pegawai dan petugas media khususnya dari China susulan penularan koronavirus yang sedang melanda negara itu khususnya di Wuhan ketika ini.

Ketua Pegawai Operasi Human Voyage, Shahaizereen A Hamid berkata, kerjasama pihak penganjur dengan Kementerian Kesihatan akan dilakukan secara terperinci untuk memastikan pelumba, pegawai mahupun petugas yang tiba dari China bebas daripada jangkitan itu.

“Pasukan dan petugas media yang tiba dari China akan menjalani pemeriksaan rapi dan dikuarantin oleh Kementerian Kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu terlebih dahulu sebelum dibenarkan keluar.

“Selain wakil dari China, pihak penganjur juga akan memantau perkembangan semasa kesemua pegawai, pelumba dan petugas dari dalam dan luar negara sebagai langkah keselamatan tambahan.

“Kami akan memastikan perlumbaan LTdL 2020 berlangsung tanpa sebarang kebimbangan khususnya melibatkan isu kesihatan dan keselamatan,”kata Shahaizereen hari ini.

Persiapan awal termasuk penggunaan topeng muka dan suntikan vaksin yang akan disediakan bergantung kepada perbincangan bersama dengan Kementerian Kesihatan.

Dalam pada itu, Shahaizereen turut menambah, persiapan sebelum saingan jelajah berbasikal berstatus ProSeries berjalan lancar dan berada di landasan tepat.

Segalanya persiapan kini di fasa akhir untuk dimuktamadkan dan pihaknya juga akan memastikan perlumbaan LTdL 2020 sempena Jubli Perak pada tahun ini berlangsung dengan jayanya.

“Segala persiapan berjalan lancar dan kami berharap orang ramai, peminat dan mereka yang berada di venue mula, penamat dan di sepanjang laluan dapat memberi sokongan padu untuk sama menjayakan edisi ke-25 ini,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Dalam pada itu, penganjur juga mengesahkan pasukan yang berpangkalan di China, Hengxiang Cycling menarik diri daripada menyertai LTdL 2020 ekoran penularan koronavirus.

LTdL 2020 akan membuka tirainya dengan Majlis Pengenalan Rasmi Pasukan di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Februari depan sebelum bermula peringkat pertama dimulakan di Padang Merdeka di Kuching, Sarawak pada 7 Februari.

Perlumbaan dijangka berakhir dengan Peringkat Kelapan di Pulau Langkawi, membabitkan jarak keseluruhan 1,114.9km yang merentasi sembilan negeri.

Sempena sambutan ulang tahun ke-25, Human Voyage akan turut menganjurkan perlumbaan Kriterium Antarabangsa di Kota Kinabalu pada 6 Februari serta perlumbaan Klasik Malaysia di Pulau Langkawi pada 15 Februari.