UMNO mula proses tuntutan RM100 juta daripada ADUN Rembia
KUALA LUMPUR - Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO bersetuju untuk memulakan tindakan undang-undang bagi menuntut ganti rugi dan pampasan sebanyak RM100 juta terhadap wakil rakyat yang meninggalkan parti.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan itu diambil sebagaimana perjanjian yang dimeterai oleh wakil rakyat sebelum ini.
"Mesyuarat juga mempertimbangkan dan bersetuju untuk pihak peguam UMNO memulakan tindakan undang-undang bagi menuntut ganti rugi dan pampasan sebanyak RM100 juta sebagaimana perjanjian yang dimeterai terhadap wakil rakyat yang telah meninggalkan dan membelakangi pendirian parti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat MT UMNO yang berlangsung di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini malam Rabu.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis yang digantung keahlian dalam UMNO sah menyertai Pas berkuat kuasa Jun tahun lepas.
Susulan pengumuman itu, Asyraf Wajdi dalam satu kenyataan berkata, setiap Ahli Parlimen (wakil rakyat) UMNO dan Barisan Nasional (BN) terikat dengan perjanjian dan aku janji yang ditandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah babitkan bon sebanyak RM100 juta.
Beliau berkata, sebarang perlanggaran perjanjian itu menyebabkan mereka wajib membayar RM100 juta kepada parti.
Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Asyraf Wajdi berkata, mesyuarat memutuskan untuk seluruh Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkampung dan menyelaras gerak kerja jentera UMNO dan BN di setiap Pusat Daerah Mengundi di DUN itu yang akan bermula Sabtu ini.
Sebelum ini, Pengerusi BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon PRK DUN Nenggiri.
Mesyuarat MT UMNO turut mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam ke atas Ketua Biro Politik Hamas dan bekas Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh di Teheran.
Beliau berkata, pembunuhan pimpinan tertinggi Hamas yang memainkan peranan utama dalam usaha gencatan senjata demi keamanan di Gaza itu membuktikan kebaculan dan kegilaan Zionis Israel yang berterusan melakukan genosid ke atas rakyat Palestin.
"UMNO bertekad untuk terus mendukung perjuangan pembebasan Palestin dan sentiasa bersama dengan saudara kami dalam kalangan Hamas, Fatah dan seluruh rakyat Palestin yang sekian lama ditindas dan dirampas hak mereka oleh Zionis Israel.
"UMNO melalui wakil parti dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia akan terus memperjuangkan hak dan menuntut keadilan di pentas antarabangsa agar kekejaman dan sifat kebinatangan Israel dihukum sekeras-kerasnya oleh masyarakat dunia dan negara-negara yang ikhlas cintakan keamanan serta keadilan," katanya. - Bernama