'Biar dia muflis kena saman sebab jadi YB Katak' - Puad
SHAH ALAM – UMNO perlu memastikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis dikenakan tindakan tegas berikutan keputusannya menyertai Pas.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, UMNO perlu ada kes yang boleh jadi ‘precedent’ agar yang lain takut untuk menipu parti dan rakyat yang mengundi mereka.
“UMNO jangan berkompromi untuk mengheret YB Jailani, ADUN Rembia ke Mahkamah. Biar dia bayar saman RM100 Juta, baru tahu tinggi rendah langit,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Sabtu.
Jelasnya, ADUN Rembia itu perlu diajar dengan keras kerana banyak kali melompat selain merahsiakan keahliannya dalam Pas.
“UMNO perlu bersih dan dia (Muhamad Jailani) elok muflis disaman kerana menjadi YB katak,” katanya
Pada Selasa, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Muhammad Jailani yang sebelum ini digantung keahlian dalam UMNO sah menyertai Pas.
Katanya, kemasukan Muhamad Jailani ke parti itu berkuat kuasa Jun tahun lalu sebelum DUN Melaka meluluskan Akta Anti Lompat Parti yang dinamakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 pada 31 Julai 2023.
UMNO tahun lalu menggantung keahlian Muhamad Jailani selama enam tahun kerana didakwa melakukan sabotaj terhadap parti apabila dengan sengaja hadir pada majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi PRK DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor.
Pada Mac 2020 lalu, Muhammad Jailani antara empat wakil rakyat PH di Melaka yang bertindak menyokong gabungan PN selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka ketika itu, Adly Zahari sehingga kerajaan PH Melaka tumbang.