Paras air Empangan Muda menyusut, hanya tinggal 8.44 peratus
SHAH ALAM - Paras air di Empangan Muda di Sik, Kedah terus menyusut dan hanya tinggal 8.44 peratus pada Selasa akibat cuaca panas melampau.
Berdasarkan rekod di laman web Sistem Pengurusan Air Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Empangan Pedu dan Empangan Ahning juga menunjukkan penyusutan paras air iaitu masing-masing ke tahap 40.28 peratus dan 82.23 peratus.
Purata keseluruhan takungan air bagi ketiga-tiga empangan tersebut adalah sebanyak 44.66 peratus.
Peratusan aras air semasa di Empangan Muda berkenaan turun sebanyak 14.69 peratus berbanding 23.13 peratus yang dicatatkan pada 2023.
Empangan Pedu pula merekodkan pengurangan paras air sebanyak 16.39 peratus berbanding 56.67 peratus pada tahun lalu, manakala paras air Empangan Ahning merosot sebanyak 12.53 peratus jika dibandingkan sebanyak 94.76 peratus pada 2023.
Sabtu lalu, media melaporkan taburan hujan yang rendah dijangka berterusan hingga bermula fasa peralihan monsun dengan situasi itu menyebabkan Malaysia berdepan cuaca lebih panas dan kering hingga pertengahan September.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah, keadaan tersebut berlaku berikutan negara berada dalam musim monsun barat daya sejak 17 Mei lalu.
Selain itu, kemunculan dua ribut siklon tropika di utara Laut China Selatan iaitu Taufan Gaemi dan Ribut Tropika Prapiroon sejak beberapa hari lalu menyebabkan cuaca rantau negara menjadi lebih kering berbanding kebiasaan.