Ahli UMNO jangan desak parti - Khaled Nordin

Mohamed Khaled (hadapan, tiga kiri), bersama sebahagian ahli UMNO Pasir Gudang pada Mesyuarat berkenaan.
Mohamed Khaled (hadapan, tiga kiri), bersama sebahagian ahli UMNO Pasir Gudang pada Mesyuarat berkenaan.
A
A
A

PASIR GUDANG - Semua ahli UMNO diingatkan agar tidak lagi mendesak kepimpinan parti dengan pelbagai tuntutan yang sukar untuk dipenuhi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, segala tuntutan dibuat seolah-olah UMNO merupakan parti yang masih menjadi kerajaan ketika ini.

"Perkara-perkara itu hanya membuatkan parti dan kepimpinan tertinggi berada dalam dilema bagi memenuhi tuntutan tersebut.

"Selain itu, jangan lah kita meletakkan parti dan kepimpinan dalam keadaan tersepit....ya, saya akui kadang-kadang parti dalam dilema dengan desakan-desakan seperti ini.

"Kita tidak mempunyai pilihan, kita didesak, dituntut dan diugut macam seolah-olah kita ini dominan di dalam kerajaan hari ini.... jadi janganlah menyerang atau mendesak parti dengan macam-macam tuntutan yang boleh menyebabkan pergeseran antara parti yang sama-sama membentuk kerajaan," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di UniKL, Seri Alam, di sini, pada Sabtu.

Mohamed Khaled berkata demikian bagi mengulas desakan-desakan agar parti berkenaan meninggalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, tiada gunanya untuk terus mendesak parti meninggalkan kerjasama dengan PH yang bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan.

"Bagi saya, tindakan itu hanya akan merumitkan lagi keadaan antara parti-parti terbabit.

"Oleh itu, ahli-ahli UMNO dan akar umbi perlulah menerima hakikat terhadap kedudukan parti dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini dan seterusnya mengatur langkah dan meneruskan perjuangan UMNO dengan politik khidmat bakti.

Artikel Berkaitan:

"Lebih baik tumpu untuk memperkuatkan semula parti mudah-mudahan ia akan menyumbang kepada kejayaan UMNO, Barisan Nasional (BN) di Johor," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!