Juara Tour de France tarik diri Olimpik Paris

Pogacar meraikan kemenangan keseluruhannya di podium dengan jersi kuning pendahulu keseluruhan. Foto AFP
Pogacar meraikan kemenangan keseluruhannya di podium dengan jersi kuning pendahulu keseluruhan. Foto AFP
A
A
A

TADEJ Pogacar yang masih segar dengan kejayaan merangkul kejuaraan Tour de France sah menarik diri daripada temasya Olimpik Paris 2024 atas faktor keletihan.

Penarikan diri pelumba UAE Team Emirates itu disahkan Kesatuan Olimpik Slovenia (OKS) menerusi satu kenyataan 24 jam selepas Pogacar menewaskan penyandang juara dari Denmark, Jonas Vingegaard.

“Malangnya Tadej Pogacar telah membatalkan penyertaannya kerana keadaan keletihan yang melampau,” kata jurulatih berbasikal Olimpik Slovenia, Uros Murn dalam satu kenyataan.

Tempat Pogacar diisi rakan sepasukannya di UAE Team Emirates, Domen Novak.

Pogacar memaki jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan Tour de France melakukan kayuhan di laluan Col du Noyer semasa peringkat ke-17 sejauh perlumbaan 177,8 kilometer (km) dari Saint-Paul-Trois-Chateaux dan Superdevoluy berhampiran banjaran Alps. Foto AFP
Pogacar memaki jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan Tour de France melakukan kayuhan di laluan Col du Noyer semasa peringkat ke-17 sejauh perlumbaan 177,8 kilometer (km) dari Saint-Paul-Trois-Chateaux dan Superdevoluy berhampiran banjaran Alps. Foto AFP

Pogacar memenangi gelaran ketiga Tour de France di Nice pada Ahad selepas mengungguli perlumbaan basikal terhebat dunia itu pada 2020 dan 2021.

Kemenangan itu turut membolehkan Pogacar muncul pelumba pertama memenangi kejuaraan berganda Giro d'Italia-Tour de France dalam satu musim sejak Marco Pantani pada 1998.

Pelumba berusia 25 tahun itu sepatutnya mengambil bahagian di Olimpik dalam acara lebuh raya pada minggu depan.

Artikel Berkaitan:

Selepas kemenangan Tour de France di Nice, Pogacar mengelak mengeluarkan kenyataan berlebihan mengenai Paris 2024 sebaliknya memilih untuk memberi tumpuan kepada Kejohanan Dunia Zurich yang akan berlangsung pada September di laluan yang sesuai dengannya.

Terdapat kontroversi mengenai beberapa pemilihan dalam pasukan Slovenia, terutamanya membabitkan Urska Zigart - tunang Pogacar yang diketepikan daripada skuad lebuh raya wanita walaupun dia merupakan juara kebangsaan Slovenia sebanyak dua kali.

Pogacar yang meraih pingat gangsa di Olimpik Tokyo dikatakan naik angin selepas Urska disisihkan.

Pogacar muncul pelumba pertama memenangi kejuaraan berganda Giro d'Italia-Tour de France dalam satu musim sejak Marco Pantani pada 1998. Foto AFP
Pogacar muncul pelumba pertama memenangi kejuaraan berganda Giro d'Italia-Tour de France dalam satu musim sejak Marco Pantani pada 1998. Foto AFP

Dalam mesej yang dimuat naik di Facebooknya, Pogacar marah dan kehilangan kata-kata terhadap keputusan tersebut.

“Saya perlukan sedikit waktu rehat selepas Tour dan saya tidak pasti apa yang akan saya lakukan seterusnya.

“Dan saya mahu meluangkan masa dengan teman wanita saya,” kata Pogacar pada Ahad.

Apabila ditanya mengenai penyertaannya di Olimpik kali ini, Pogacar mengelak dan lebih suka menyebut bahawa impiannya adalah untuk menyarung jersi pelangi di Kejohanan Dunia.

Kejohanan Dunia berlangsung di Zurich, Switzerland pada September ini dan Pogacar mengintai kejuaraan untuk mencipta kejayaan mengungguli Giro d'Italia, Tour de France dan juara dunia dalam satu musim.

Sebagai rekod, hanya dua pelumba dalam sejarah mencipta kejayaan seumpama itu - Stephen Roche dari Ireland dan Eddy Merckx dari Belgium.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!