Polis cekup lelaki larikan dua kanak-kanak perempuan
KUALA SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Polis mengesahkan telah menahan seorang lelaki selepas terlibat dalam kes melarikan dua kanak-kanak di Jeram pada Jumaat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintenden, Mohd Ambia Nordin berkata, suspek ditahan di sebuah rumah di Jeram kira-kira jam 2.40 pagi Ahad.
Bagaimanapun, katanya, kes itu masih dalam siasatan dan sedang mengenal pasti motif serta modus operandi dilakukan suspek terlibat.
"Suspek memberi kerjasama dan tidak cuba melarikan diri ketika ditahan polis," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Menurutnya, semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
"Hasil ujian saringan air kencing ke atas lelaki itu bagaimanapun didapati negatif dadah," katanya
Beliau berkata, suspek direman pada hari sama di Mahkamah Majistret Klang dan dibenarkan tahanan selama lima hari sehingga 25 Julai ini bagi membantu siasatan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 369 Kanun Keseksaan dan 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, dua kanak-kanak perempuan berusia enam dan lapan tahun yang dilaporkan hilang ditemui dalam keadaan selamat selepas dipercayai dilarikan seorang lelaki dengan menaiki sebuah kereta Perodua Bezza di Jeram, pada Jumaat.
Mohd Ambia berkata, polis menerima maklumat kejadian itu daripada ibu mangsa pada jam 6.30 petang.