X

Kindly register in order to view this article
!

Pemuda Amanah kesal pemimpin negara disamakan dengan haiwan

Mohd Nabeel (dua dari kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kota Setar hari ini.
A
A

ALOR SETAR - Pemuda Amanah Pokok Sena kesal apabila ada individu memuat naik status biadab di Facebook yang menyamakan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar dengan haiwan.

Ketuanya, Mohd Nabeel Asyraf Asmi berkata, perbuatan itu satu penghinaan terhadap pemimpin dan menggambarkan politik tidak matang apabila melakukan serangan peribadi dengan memuat naik kenyataan tidak berasas itu.

“Kami mahu individu tersebut membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap Mahfuz serta menarik balik kenyataan itu dengan memadam paparan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar hari ini.

Mohd Nabeel berkata, pengguna media sosial sepatutnya peka dan bertanggungjawab di atas kenyataan yang dibuat dengan memikirkan natijah perbuatan itu.

“Kami membuat laporan polis sebagai peringatan kepada pengguna laman sosial supaya berhati-hati dengan kenyataan dibuat,” katanya.

Menurutnya, paparan itu dimuat naik pada Sabtu dan dipercayai mempunyai agenda politik mempersenda pemimpin Amanah.

“Berpolitiklah secara matang dan tunjukkan akhlak yang baik berbanding menabur fitnah. Anak muda sepatutnya membawa pemikiran lebih baik sebagai pewaris negara. Kalau bawa politik seperti ini ia bukan politik matang sebaliknya kebencian yang merosakkan negara dan pemikiran orang muda,” katanya.

Mohd Nabeel berkata, jika budaya politik itu diteruskan akan memberi kesan negatif terhadap diri dan imej agama.

“Marah kepada pemimpin sekalipun itu bukan caranya kerana ada saluran terbaik untuk menyampaikan perasaan itu,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus