109,232 kanak-kanak di Sabah diberi vaksin polio

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai 109,232 kanak-kanak di Sabah berumur lima tahun ke bawah diberi vaksin dalam bulan pertama Kempen Imunisasi Polio Sabah bagi menangani virus berkenaan yang mula dikesan di negeri itu pada Disember lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu merupakan 27.93 peratus daripada 391,040 kanak-kanak lingkungan usia berkenaan di 25 daerah di Sabah.

Beliau berkata, kanak-kanak terbabit dikenal pasti melalui Supplementary Immunisation Activity (SIA) yang dilancarkan Disember lalu.

“SIA merupakan fasa kedua aktiviti tindakan kawalan dan pencegahan wabak polio yang mana dos pertama vaksin diberi secara titisan ke mulut,” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Hisham berkata, pelaksanaan SIA di beberapa daerah amat mencabar dari segi logistik dan keselamatan kakitangan.

“Mereka perlu menaiki bot atau perahu, meredah air serta berjalan sejauh tiga kilometer untuk sampai ke kampung yang dituju.

“Justeru, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada petugas kesihatan dan sukarelawan di lapangan yang sedang bertungkus-lumus dalam menyelamatkan negara daripada polio.

"Mereka ini bukan selebriti TV dan dunia perfileman. Mereka adalah ‘the invisible public health’ dan wira-wira yang tidak didendang oleh masyarakat umum dan media. Hargailah jasa petugas kesihatan tatkala perkhidmatan ini semua masih ada,” katanya.

Artikel Berkaitan:

SIA dilancarkan selepas seorang bayi berusia lapan bulan di Tuaran, Sabah dilaporkan dijangkiti virus polio.

Ia merupakan kes pertama selepas 27 tahun negara bebas daripada penyakit tersebut.