Tiada keperluan bubar Parlimen: Exco Kedah

Halimaton Shaadiah (kanan) beramah mesra dengan ahli Bersatu Kubang Pasu ketika hadir menyerahkan borang penamaan calon pemilihan Bahagian Kubang Pasu hari ini.
Halimaton Shaadiah (kanan) beramah mesra dengan ahli Bersatu Kubang Pasu ketika hadir menyerahkan borang penamaan calon pemilihan Bahagian Kubang Pasu hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Tiada keperluan untuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membubarkan Parlimen seperti dicadangkan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan Kedah, Halimaton Shaadiah Saad berkata, Dr Mahathir berpengalaman luas mentadbir negara dan semestinya setiap keputusan dibuat demi kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, berbeza dengan rombakan Kabinet sekiranya berlaku, ia merupakan perkara biasa dalam melancarkan pentadbiran bukan menggambarkan keadaan yang kucar-kacir seperti didakwa.

“Dr Mahathir mempunyai pengalaman 22 tahun menerajui negara, saya percaya beliau akan buat keputusan tepat berdasarkan penilaian sendiri sudah pasti sebarang keputusan hanya yang terbaik untuk rakyat,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan borang penamaan calon pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kubang Pasu di Pejabat Bersatu Kubang Pasu hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan hari ini kelam kabut bubar saja Parlimen:Pas

Halimaton Shaadiah berkata, gesaan bubar Parlimen itu tidak berasas kerana negara bukannya kucar-kacir sebaliknya masyarakat pelbagai kaum masih dapat menikmati keharmonian dalam negara.

“Tak ada pun kucar-kacir atau kelam kabut. Sambutan Tahun Baru Cina dalam suasana harmoni, tiada pergaduhan atau kekacauan. Jadi tak usahlah cuba wujudkan keadaan yang tidak benar,” katanya.

Terdahulu, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya segera bubarkan Parlimen bagi membolehkan rakyat memberi mandat baharu kepada pihak yang mereka mahukan sebagai kerajaan. Ini kerana dakwanya, keadaan politik semasa dilihat meruncing dan kelam kabut selain tidak lagi mampu dikawal Dr Mahathir.

Artikel Berkaitan:

Mohd Amar juga tegaskan, ketidakstabilan politik yang berlaku dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang boleh memberi kesan dan tanggapan kurang baik kepada pelabur.

Mengulas lanjut, Halimaton Shaadiah berkata, PH telah diberikan mandat oleh rakyat untuk mentadbir negara dan masih ada tempoh beberapa tahun lagi sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kita dalam PH ada parti gabungan lain, kita kena terima kekurangan parti lain dan satukan untuk jadikan kekuatan PH. Jika terpaksa bubar Parlimen atas kebijaksanaan Perdana Menteri, kepimpinan negeri bersedia namun ia bukan keperluan buat masa ini,” katanya.

Menurutnya, kelemahan pentadbiran akan dibuat penambahbaikan dan pada masa sama, rakyat harus peka dengan program mensejahterakan rakyat yang dilaksanakan kerajaan.

“Sudah banyak program yang beri manfaat kepada rakyat dilancarkan kerajaan, kita perlu uarkan lebih giat agar maklumat sampai kepada golongan sasaran, bukan kita tak buat kerja kadang apa yang dilakukan tidak sampai ke pengetahuan rakyat,” katanya.