Trump alami pendarahan di kepala, telinga dalam serangan di Pennsylvania
BUTLER - Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengalami pendarahan pada bahagian kepala dan telinga dalam satu serangan di Pennsylvania.
Dalam kejadian tersebut beliau sedang memberikan ucapan untuk kempen pemilihan presiden akan datang sebelum kedengaran bunyi tembakan dilepaskan.
Trump merebahkan diri sebelum beberapa pegawai Perkhidmatan Rahsia AS menerpa untuk melindungi beliau.
Pemimpin kontroversi itu kemudian dibawa meninggalkan pentas dan dibawa memasuki kereta sebelum dibawa ke sebuah pusat perubatan tempatan.
Jurucakap Perkhidmatan Rahsia AS dalam kenyataan yang disiarkan di X mengatakan: "bekas Presiden kini selamat."
"Ini kini merupakan siasatan aktif oleh Secret Service dan maklumat lanjut akan dikeluarkan apabila tersedia," kata jurucakap agensi Anthony Guglielmi.
Sementara itu, Jurucakap Trump, Steven Cheung berkata, pemimpin itu mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa atas tindakan pantas mereka terhadap perbuatan keji tersebut.
"Beliau dalam keadaan baik dan sedang diperiksa di sebuah pusat perubatan tempatan," kata Cheung.
Bagaimana belum dapat dipastikan sama ada suspek kejadian tersebut berjaya ditahan atau tidak.
Sementara itu, Presiden AS, Joe Biden, yang berada di Delaware untuk hujung minggu, telah diberi taklimat mengenai situasi tersebut, menurut seorang pegawai kanan White House.
Biden menyedari situasi tersebut dan memantau perkembangan, kata seorang jurucakap kanan kepada NBC News.
Ahli politik mula menyiarkan di media sosial bahawa mereka mendoakan Trump beberapa minit selepas kejadian itu berlaku, termasuk calon Naib Presiden Senator JD Vance, R-Ohio; Senator. Marco Rubio, R-Fla dan Gabenor Dakota Utara, Doug Burgum.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!